Ada keperluan syarikat untung tinggi masih bayar gaji rendah diambil tindakan lebih tegas

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan sikap sesetengah syarikat besar swasta yang mencatat keuntungan tinggi tetapi masih membayar gaji rendah kepada pekerja.

Beliau berkata, kerajaan akan mencari pendekatan termasuk berunding dengan syarikat terbabit bagi memastikan kadar gaji pekerja dinaikkan selaras dengan peningkatan produktiviti negara.

“Saya masih belum berpuas hati kerana syarikat-syarikat besar, ladang-ladang, industri, kilang yang untungnya sangat tinggi tetapi kadar upahnya rendah.

“Saya pernah buat kajian dulu tentang kenaikan produktiviti dan kenaikan upah. Korea umpamanya, South Korea, produktiviti tinggi, upah pun ikut tinggi.

“Walaupun tak sama tetapi ia meningkat mengikut kadar upah. Di Malaysia, produktiviti terus meningkat tetapi kadar upah itu meningkat sangat rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, kerajaan berdepan cabaran untuk menggunakan pendekatan perundangan semata-mata kerana dikhuatiri syarikat terbabit mengambil tindakan menutup operasi atau memindahkan pelaburan ke negara lain.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah kerajaan untuk meningkatkan tahap gaji, termasuk dalam sektor swasta, akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini.

“Jadi, terpaksa kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan. Undang-undang tak berapa boleh. Nanti mereka (syarikat besar) boleh kata kalau begitu kami akan tutup industri atau pindah ke Vietnam atau pindah ke negara lain.

“Jadi kita harus berunding dengan baik. Saya setuju dengan saranan bahawa mesti ada langkah yang lebih tegas dan insya-Allah saya akan umumkan pada hari Belanjawan Oktober nanti,” katanya.

Beliau berkata, langkah meningkatkan gaji dalam sektor awam pula telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, agenda memperkasakan Bumiputera turut menjadi antara fokus yang akan diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.

Bagaimanapun, katanya, usaha memperkukuh agenda Bumiputera perlu dilaksanakan bersama jaminan keadilan sosial serta tidak menjejaskan hak dan keselesaan rakyat bukan Melayu.

“Tetapi saya yakin agenda Bumiputera boleh dikembangkan dengan jaminan keadilan sosial dan tidak melanggar jaminan keselamatan dan keselesaan rakyat yang bukan Melayu.

“Saya yakin dengan peruntukan yang ada malah dalam belanjawan ini, agenda Bumiputera keseluruhannya, kita mampu tingkatkan,” katanya.

Mengulas isu peruntukan sekolah pula, Anwar mengingatkan supaya jumlah peruntukan antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan tidak dibandingkan secara terus kerana keperluan setiap kawasan adalah berbeza.

Katanya, sekolah di kawasan bandar yang mempunyai kemudahan lebih baik tidak boleh disamakan dengan sekolah di kawasan pedalaman yang berdepan kekangan infrastruktur dan latar belakang ekonomi masyarakat setempat.

“Kalau kita bercakap soal peruntukan, bagaimana kita hendak membandingkan sekolah seperti Chung Hwa yang mempunyai kemudahan paling baik dengan sekolah di Manek Urai, Kapit?

“Sudah tentu sekolah di Manek Urai perlu diberikan lebih perhatian kerana kawasannya terpencil dan ramai keluarga yang berpendapatan rendah.

“Takkan kita mengharapkan PIBG mengutip RM5,000 setahun? RM5,000 setahun pun sudah sukar bagi mereka,” katanya.

Anwar menegaskan, konsep keadilan tidak semestinya bermaksud memberikan jumlah bantuan yang sama kepada semua pihak sebaliknya bantuan perlu disalurkan berdasarkan keperluan.

“Sebab itu saya katakan, keadilan (justice) bukan bermaksud persamaan. Keadilan bukan memberikan layanan yang sama, tetapi memberikan perhatian dan sokongan berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.

Related Posts

Tidak sokong Pas bukan ukuran iman seseorang – Zuliadin

PILIHAN politik seseorang tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap iman dan kecintaan seseorang kepada Islam, kata bekas Imam Masjid Rusila, Ustaz Zuliadin Abdullah. Beliau berkata, seseorang Muslim boleh memilih untuk tidak…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Gagal redakan krisis Negeri Sembilan, UMNO berdepan persepsi utamakan politik

PUTRAJAYA – UMNO berdepan persoalan sama ada kepentingan politik mengatasi tanggungjawabnya terhadap institusi diraja dan adat Negeri Sembilan sekiranya gagal memainkan peranan menyelesaikan kemelut yang dilihat semakin meruncing dalam negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tidak sokong Pas bukan ukuran iman seseorang – Zuliadin

Tidak sokong Pas bukan ukuran iman seseorang – Zuliadin

Gagal redakan krisis Negeri Sembilan, UMNO berdepan persepsi utamakan politik

Gagal redakan krisis Negeri Sembilan, UMNO berdepan persepsi utamakan politik

New Age Movement: JAKIM tegur, dapatkan penjelasan Marhamah

New Age Movement: JAKIM tegur, dapatkan penjelasan Marhamah

Pemandu jengkaut maut, jentera terbalik dalam tasik

Pemandu jengkaut maut, jentera terbalik dalam tasik

‎PJRM rekod hampir 31.85 juta transaksi setakat 23 September ‎

  • By Ezmie
  • September 27, 2026
‎PJRM rekod hampir 31.85 juta transaksi setakat 23 September ‎

‎Pelekat QR Takwim PJRM dipasang di premis tumpuan mulai 1 Oktober ‎

  • By Ezmie
  • September 27, 2026
‎Pelekat QR Takwim PJRM dipasang di premis tumpuan mulai 1 Oktober ‎