
SEMPORNA – Seorang lelaki dipenjara 10 bulan selepas gagal membayar denda RM15,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Tawau pada Rabu akibat memiliki 600 liter petrol tanpa permit.
Ketua Cawangan KPDN Semporna, Mohammad Roli Aliman brkata, lelaki terbabit mengaku bersalah atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa permit di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Lelaki itu gagal membayar denda berkenaan dan seterusnya dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.
“Mahkamah turut memerintahkan 600 liter minyak petrol yang disita dijual dan hasil jualannya dijadikan hasil kerajaan.
“Manakala sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan enjin sangkut Yamaha 40HP pula diserahkan kepada pihak KPDN untuk tujuan pelupusan,” ujarnya dalam kenyataan, pada Khamis.
Menurut Mohammad Roli, kes ini merupakan hasil tindakan penguatkuasaan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, PMP Zulkifli Baco.
“KPDN Cawangan Semporna akan terus mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan kawalan bekalan.
“Ini selaras dengan komitmen KPDN dalam memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan,” tegasnya.




