Kecekapan Pelabuhan Sandakan perlu dipertingkat sebelum 2029 – Ewon

SANDAKAN – Kecekapan Pelabuhan Sandakan perlu dipertingkat segera bagi menyokong perkembangan sektor perindustrian di kawasan itu, khususnya menjelang sasaran bekalan gas ke Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan pada 2029.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha berkenaan tidak wajar hanya dimulakan selepas bekalan gas tiba di kawasan perindustrian tersebut.

“Saya telah datang meninjau Pelabuhan Sandakan dan melaporkan kepada Kabinet.

“Sebab itu saya katakan Kabinet telah meminta Suria Capital Holdings Berhad untuk melabur dalam kelengkapan jentera bagi meningkatkan kecekapan di pelabuhan.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga 2029 barulah usaha meningkatkan kecekapan Pelabuhan Sandakan dibuat,” ujarnya semasa Majlis Makan Malam Sempena Pesta Tanglung Bersama Masyarakat Cina Daerah Sandakan Anjuran Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Libaran, Sandakan dam Batu Sapi, di sini pada Jumaat.

Menurut Ewon, pembangunan Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan merupakan kerjasama Kerajaan Sabah dengan Petronas bagi eksplorasi Kluster Mutiara, dengan sasaran bekalan gas sampai ke kawasan perindustrian itu menjelang 2029.

Katanya, bekalan gas berkenaan akan menjadi antara jaminan bekalan tenaga kepada sektor perindustrian di Sandakan, sekali gus memerlukan kemudahan pelabuhan yang lebih cekap untuk menyokong perkembangan tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengakui keadaan laluan kapal yang cetek merupakan antara cabaran utama Pelabuhan Sandakan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kapal-kapal besar yang tiba di sekitar pelabuhan terpaksa menunggu air pasang sebelum dapat melalui laluan masuk dan berlabuh.

“Memang kita akui salah satu cabaran berkaitan Pelabuhan Sandakan ini adalah keadaan laluan kapal yang cetek.

“Banyak kapal besar tidak dapat berlabuh walaupun sudah tiba di sekitar pelabuhan dan mereka perlu menunggu air pasang sebelum boleh masuk dan berlabuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sabah sedang melihat usaha pengorekan pasir di laluan kapal menerusi kerjasama antara SEDCO Mining Sdn Bhd (SMSB) dan Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC).

Menurutnya, pasir yang dikorek daripada laluan berkenaan dicadangkan untuk dihantar ke Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bagi tujuan penambakan kawasan perindustrian.

“Jadi ada dua matlamat, satu untuk mendalamkan laluan kapal ke Pelabuhan Sandakan dan pasir yang dikorek daripada kawasan tersebut digunakan untuk menimbus kawasan perindustrian di SOGIP,” katanya.

Bagaimanapun, Ewon berkata pelaksanaan kerja pengorekan itu perlu mematuhi perundangan dan tatakelola ditetapkan, termasuk penyediaan laporan penuh Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Saya akan terus memantau dari segi kepatuhan kepada tatakelola dan perundangan sedia ada. Mudah-mudahan apabila tiba masanya, kerja pengorekan itu dapat mencapai dua matlamat yang kita sasarkan,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata beliau turut meninjau fasiliti jeti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) Sandakan yang digunakan bagi aktiviti barter trade.

Katanya, beliau menerima pelbagai permintaan daripada dewan perniagaan, khususnya komuniti perniagaan di Tawau dan Sandakan, supaya aktiviti barter trade di Pantai Timur Sabah dirancang semula.

Beliau berkata perkara itu turut dibincangkan dalam kunjungan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Menteri Perdagangan dari Mindanao ke kementeriannya baru-baru ini.

“Bagaimanapun, ada tatakelola dari segi perundangan dan pemantauan. Jadi perkara ini akan saya bawa ke Kabinet dan kita sedang menyediakan kertas Kabinet berkaitan untuk dibincangkan.

“Apa juga keputusan dan hala tuju yang diputuskan Ketua Menteri dan Kabinet nanti, saya akan kongsikan semula kepada media dan pemain industri,” katanya.

Related Posts

AirBorneo disaran tambah penerbangan Limbang-Kuching dua kali sehari

LIMBANG – Syarikat penerbangan butik milik Sarawak iaitu AirBorneo, disaran mempertimbangkan penambahan kekerapan penerbangan bagi laluan Limbang ke Kuching daripada sekali kepada dua kali sehari bagi menampung lonjakan permintaan penumpang. Timbalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Limbang sasar status hab ekonomi, pelancongan rentas sempadan serantau

LIMBANG – Daerah Limbang kini bersedia mengorak langkah transformasinya daripada sekadar sebuah bandar persinggahan sempadan kepada hab perdagangan, pelancongan, dan pelaburan rentas sempadan serantau yang dinamik. Timbalan Premier Sarawak, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kecekapan Pelabuhan Sandakan perlu dipertingkat sebelum 2029 – Ewon

  • By Fandi
  • September 19, 2026
Kecekapan Pelabuhan Sandakan perlu dipertingkat sebelum 2029 – Ewon

AirBorneo disaran tambah penerbangan Limbang-Kuching dua kali sehari

AirBorneo disaran tambah penerbangan Limbang-Kuching dua kali sehari

Limbang sasar status hab ekonomi, pelancongan rentas sempadan serantau

Limbang sasar status hab ekonomi, pelancongan rentas sempadan serantau

UPKO bakal pertahan dua kerusi Parlimen

  • By Fandi
  • September 19, 2026
UPKO bakal pertahan dua kerusi Parlimen

SPRM beri sebulan kepada Azeez, keluarga isytihar harta

SPRM beri sebulan kepada Azeez, keluarga isytihar harta

SPRM rakam keterangan Isa Samad hingga Khamis bantu siasatan FELDA, FIC

SPRM rakam keterangan Isa Samad hingga Khamis bantu siasatan FELDA, FIC