
KUCHING – Kerajaan MADANI terus mempamerkan komitmen kukuh dalam menyelesaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila bersetuju untuk menentukan satu formula khusus bagi perkongsian hasil antara kerajaan Persekutuan dengan Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau mewakili Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI atas persetujuan tersebut yang termaktub di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
Selain isu perkongsian hasil, Abang Johari turut menzahirkan penghargaan atas persetujuan kerajaan Persekutuan untuk meletakkan bidang pelancongan dalam Senarai Bersama di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
“Langkah ini akan membuka ruang untuk kolaborasi dan kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Sarawak untuk memajukan bidang pelancongan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sektor pelancongan merupakan bidang baharu yang wujud selepas penubuhan Malaysia, yang juga diklasifikasikan sebagai subjek baki (residual subject) di bawah Perlembagaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada malam kemuncak Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Tegas Abang Johari, komitmen yang ditunjukkan oleh keajaan MADANI ini diharap akan membawa kepada kefahaman meluas bahawa pengiktirafan hak dan keistimewaan wilayah Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada agenda nasional yang harus dihormati oleh semua pihak.







