Zahid tak puas hati, bangkit dalam Kabinet atau keluar kerajaan – Mahfuz

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu menggunakan ruang Kabinet untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap dasar Kerajaan MADANI, bukannya menjadikan pentas Perhimpunan Agung UMNO sebagai medan menyerang Perdana Menteri, tegas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet menjadikan sindiran beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pelaksanaan subsidi petrol BUDI95 sesuatu yang mengecewakan.

Katanya, jika Zahid benar-benar tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, perkara itu sepatutnya dibincangkan secara terus dalam Kabinet.

“Kalau tidak setuju, bincang dalam Kabinet. Kalau ada cadangan lebih baik, bentangkan kepada Kabinet. Kalau masih mahu bersama, pikul tanggungjawab bersama.

“Kalau sudah tidak percaya, berundur dengan terhormat.

“Yang tidak boleh ialah duduk dalam kerajaan, tetapi bercakap seperti pembangkang; menikmati kuasa kerajaan, tetapi menjadikan kerajaan sendiri sebagai bahan serangan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mahfuz, tidak wajar untuk Zahid bertindak seolah-olah beliau berada di luar kerajaan apabila berada di pentas UMNO sedangkan pada hakikatnya beliau adalah sebahagian daripada kepimpinan yang membuat keputusan kerajaan.

“Dalam Kabinet, beliau rakan membuat keputusan. Di pentas UMNO, beliau jangan pula berlakon seperti orang luar yang hanya tahu mengkritik keputusan kerajaan.

“Zahid tidak boleh duduk dalam Kabinet sebagai pembuat keputusan, tetapi turun ke pentas UMNO sebagai pengkritik keputusan yang dibuat kerajaan.

“Itu bukan kepimpinan bersama. Itu politik dua pentas,” katanya.

Mahfuz berkata, jika pelaksanaan BUDI95 dianggap tidak tepat, bantahan sepatutnya dibuat dalam Kabinet, manakala cadangan alternatif perlu dibawa untuk dipertimbangkan bersama.

“Jangan di luar Kabinet, atas pentas UMNO, Perdana Menteri dijadikan sasaran untuk mendapatkan tepukan dengan memperolok-olokkan Perdana Menteri.

“Jangan duduk dalam kapal, makan bekal bersama penumpang, tetapi apabila kapal dilambung ombak, tebuk kapal dan salahkan kapten,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa kritikan terhadap kerajaan tidak seharusnya dihalang kerana kritikan membina penting bagi memastikan dasar kerajaan dapat diperbaiki.

Namun katanya, terdapat perbezaan antara kritikan membina oleh anggota Kabinet dengan serangan politik yang bertujuan mendapatkan keuntungan daripada kelemahan kerajaan sendiri.

“Kalau Zahid benar-benar percaya UMNO boleh buat lebih baik, rakyat menunggu buktinya.

“Jangan hanya pandai berkata ‘kami boleh buat lebih baik’, tunjukkan keberanian untuk memikul tanggungjawab,” katanya.

Mahfuz turut mempersoalkan mengapa Zahid tidak menggunakan pengaruh dan kedudukannya dalam Kabinet sekiranya benar-benar percaya kerajaan boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik.

“Bukankah beliau sendiri sebahagian daripada kerajaan?

“Tidak boleh apabila keputusan popular, semua mahu berkongsi kejayaan; apabila keputusan sukar, seorang Perdana Menteri sahaja dipersalahkan.

“Itu bukan kepimpinan bersama. Itu namanya mahu makan nangka, tetapi tidak mahu kena getah,” katanya.

Mengulas kenyataan Zahid, ‘Insya-Allah kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat’, Mahfuz berkata, Presiden UMNO itu perlu menjelaskan kepada rakyat apakah perkara yang boleh dilakukan UMNO dengan lebih baik serta bagaimana ia mahu dilaksanakan.

“Kalau benar beliau merasakan kerajaan boleh melakukan lebih baik, mengapa tidak gunakan kedudukan beliau dalam Kabinet untuk melakukannya?” soalnya.

Mahfuz berkata, sekiranya Zahid sudah tidak lagi yakin dengan dasar dan kepimpinan Kerajaan MADANI, beliau mempunyai pilihan yang jelas dan terhormat.

“Letakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri, kemudian bawa UMNO dan BN keluar daripada Kerajaan MADANI.

“Itu lebih jujur daripada kekal duduk dalam kerajaan tetapi setiap kali ada masalah, menyalahkan kerajaan apabila berada di pentas luar,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin yang memilih untuk berada dalam kerajaan perlu bersedia memikul tanggungjawab secara bersama, termasuk ketika berdepan keputusan yang sukar.

“Janganlah menjadi seperti orang yang duduk di dalam kapal, tetapi menebuk kapal dari dalam sambil menyalahkan kapten kerana kapal bocor.

“Kalau tidak setuju dengan kapten, bincang dan betulkan arah pelayaran. Jangan tebuk kapal, kemudian beritahu penumpang bahawa kapten tidak pandai membawa kapal,” katanya.

Related Posts

‘Ciuman maut’ Khairy buat Zahid, pujian atau perangkap?

Oleh: Nehru Sathiamoorthy ULASAN | Tahukah anda apa yang dikatakan Khairy Jamaluddin mengenai ucapan dasar Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung parti hari ini? Khairy menyifatkannya sebagai ucapan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar, Putin bincang penerbangan terus, bebas visa Malaysia-Rusia

NEW DELHI – Hubungan Malaysia-Rusia diperkukuh dengan beberapa kerjasama bagi merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Rusia. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian setelah pertemuan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Ciuman maut’ Khairy buat Zahid, pujian atau perangkap?

‘Ciuman maut’ Khairy buat Zahid, pujian atau perangkap?

Zahid tak puas hati, bangkit dalam Kabinet atau keluar kerajaan – Mahfuz

Zahid tak puas hati, bangkit dalam Kabinet atau keluar kerajaan – Mahfuz

Anak kandung disyaki terlibat dalam kematian ibu di Tambunan

  • By Ezmie
  • September 12, 2026
Anak kandung disyaki terlibat dalam kematian ibu di Tambunan

Anwar, Putin bincang penerbangan terus, bebas visa Malaysia-Rusia

Anwar, Putin bincang penerbangan terus, bebas visa Malaysia-Rusia

UMNO masih rasa ‘abang besar’, walau politik sudah berubah

UMNO masih rasa ‘abang besar’, walau politik sudah berubah

Program JIWA@Komuniti di Saeh perhebat semangat patriotisme dan penyaluran maklumat sahih

Program JIWA@Komuniti di Saeh perhebat semangat patriotisme dan penyaluran maklumat sahih