MA63 perlu diterjemah kepada kekuatan ekonomi Sabah, bukan sekadar kerusi dan peruntukan

KOTA KINABALU – Keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) perlu dilihat lebih jauh daripada soal peruntukan, kuasa atau pertambahan kerusi Parlimen.

Sebaliknya sejauh mana setiap keputusan itu mampu diterjemahkan kepada pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Dr Jain Yassin berkata, keputusan mesyuarat pada 11 September lalu merupakan perkembangan penting, khususnya dalam memperkukuh kedudukan fiskal, pembangunan wilayah serta hubungan ekonomi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

40 peratus perlu diperincikan

Bagaimanapun, Jain berkata, beberapa perkara masih memerlukan perincian, terutama berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

“Pada awalnya saya agak ralat apabila angka 40 peratus itu masih belum diperincikan dengan lebih jelas, khususnya dari segi asas pengiraan dan mekanisme pelaksanaannya.

“Perincian ini penting supaya komitmen di bawah MA63 dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang jelas, telus dan berkesan.

“Namun, kita juga perlu memahami bahawa perkara ini bukan sesuatu yang mudah,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press pada Sabtu.

Menurutnya, persoalan mengenai kedudukan fiskal itu juga tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan suara Sabah dan Sarawak dalam proses membuat keputusan di peringkat nasional.

Atas sebab itu, Jain melihat gambaran awal mengenai peningkatan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen sebagai satu lagi perkembangan penting hasil mesyuarat berkenaan.

Perkukuh kuasa rundingan Sabah dan Sarawak

Katanya, pertambahan kerusi bukan sekadar soal menambah wakil rakyat, tetapi turut mempunyai dimensi ekonomi kerana perwakilan yang lebih kukuh boleh mempengaruhi sejauh mana kepentingan pembangunan kedua-dua wilayah diberikan perhatian dalam pembentukan dasar negara.

“Dari perspektif ekonomi politik, perwakilan yang lebih besar berpotensi memperkukuh kuasa rundingan Sabah dan Sarawak, terutama dalam perkara berkaitan peruntukan pembangunan dan infrastruktur, pengagihan sumber serta dasar pembangunan wilayah.

“Yang penting, peningkatan itu perlu turut melibatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak, bukan sekadar menambah jumlah kerusi Parlimen secara keseluruhan,” katanya.

Namun, Jain mengingatkan pertambahan kerusi tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kepada semua masalah pembangunan.

Lebih banyak kerusi, katanya, tidak semestinya secara automatik membawa lebih banyak pembangunan atau peruntukan jika peningkatan perwakilan itu tidak diterjemahkan kepada dasar yang benar-benar mengambil kira keperluan Sabah dan Sarawak.

“Matlamat akhirnya bukan sekadar mendapatkan lebih banyak peruntukan.

“Perwakilan yang lebih besar sepatutnya membantu menghasilkan keputusan dan dasar pembangunan yang lebih responsif kepada keperluan kedua-dua wilayah,” katanya.

Persempadanan tidak lebarkan jurang pembangunan

Justeru, katanya, jika persetujuan untuk meningkatkan perwakilan itu mahu memberi kesan sebenar, proses pelaksanaannya termasuk penambahan kerusi dan persempadanan kawasan perlu mempunyai hala tuju serta garis masa yang jelas.

Beliau berkata, perkara itu penting supaya isu berkenaan tidak terus menjadi retorik politik yang dibangkitkan berulang kali tanpa kemajuan yang dapat dilihat.

Pada masa sama, Jain berkata, persempadanan tidak seharusnya dibuat berdasarkan jumlah penduduk semata-mata kerana realiti pembangunan Sabah dan Sarawak berbeza berbanding kawasan lain.

“Faktor keluasan, geografi, taburan penempatan, ketersambungan serta potensi ekonomi sesuatu kawasan juga perlu diberi pertimbangan.

“Kita jangan sampai hanya memecahkan kawasan, tetapi akhirnya jurang pembangunan antara satu kawasan dengan kawasan lain semakin besar.

“Persempadanan perlu membantu mewujudkan perwakilan yang lebih berkesan dan pada masa sama menyokong pembangunan yang lebih seimbang,” katanya.

Perkukuh suara kedua-dua wilayah

Menurut Jain, prinsip yang sama juga perlu digunakan dalam melihat usaha meningkatkan penyertaan anak Sabah dan Sarawak dalam jawatan penting Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Jika pertambahan kerusi bertujuan memperkukuh suara kedua-dua wilayah dalam pembentukan dasar, katanya, peningkatan penyertaan anak tempatan dalam pentadbiran pula perlu memperkukuh keupayaan melaksanakan dasar tersebut.

Jain menyifatkan langkah berkenaan sebagai perkembangan positif, namun menegaskan jenis jawatan, fungsi serta bidang kuasa yang diberikan perlu jelas bagi mengelakkan pertindihan atau kewujudan lapisan birokrasi baharu.

“Kuasa sahaja tidak cukup. Kecekapan dan kepakaran juga perlu diperkasakan.

“Matlamatnya bukan semata-mata untuk memastikan lebih ramai anak Sabah dan Sarawak memegang jawatan penting, tetapi mereka juga perlu mempunyai kapasiti, kepakaran dan ruang untuk membuat keputusan dengan berkesan,” tegasnya.

MA63 sebagai pelaburan strategik negara

Kesemua perkara itu, menurut Jain, menunjukkan pelaksanaan MA63 sebenarnya mempunyai kaitan langsung dengan struktur pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak.

Sebab itu, beliau menyambut baik usaha mengangkat MA63 sebagai komitmen dan naratif nasional kerana pembangunan kedua-dua wilayah tidak seharusnya dilihat sebagai tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap Kerajaan Persekutuan semata-mata.

Sebaliknya, pembangunan Sabah dan Sarawak perlu dianggap sebagai pelaburan strategik negara yang mampu membuka sumber pertumbuhan baharu, memperkukuh ekonomi Malaysia serta mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.

“MA63 tidak seharusnya hanya berkisar mengenai berapa banyak peruntukan, berapa banyak kuasa atau berapa banyak kerusi yang diperoleh.

“Persoalan lebih penting ialah bagaimana semua hak, kuasa dan sumber itu akhirnya diterjemahkan kepada pembangunan dan peluang ekonomi yang dapat dirasai rakyat.

“MA63 perlu menjadi kerangka untuk membina pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak yang lebih adil, inklusif dan mampan. Apabila Sabah dan Sarawak berkembang dengan lebih kukuh, Malaysia secara keseluruhannya turut mendapat manfaat,” katanya.

Terdahulu, MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu pada 11 September lepas membincangkan kemajuan pelaksanaan beberapa perkara berkaitan MA63 serta isu strategik membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Antara perkara yang diberi perhatian termasuk Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, peningkatan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen serta pertambahan perjawatan dan Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di kedua-dua wilayah.

Mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pelaksanaan MA63 sebagai sebahagian daripada komitmen nasional, dengan beberapa perkara memerlukan tindakan susulan dan rundingan lanjut antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Related Posts

KSU Kementerian Komunikasi edar 200 bungkusan promosi Hari Malaysia 2026 di LTAK

KUCHING – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah mengedarkan sebanyak 200 bungkusan barangan penajaan dan bahan promosi Hari Malaysia 2026 kepada orang awam di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu Baja 3 lewat, pengarah urusan ditahan SPRM

ALOR SETAR – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMNO kekal Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal bukan perkara baharu

UMNO kekal Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal bukan perkara baharu

KSU Kementerian Komunikasi edar 200 bungkusan promosi Hari Malaysia 2026 di LTAK

KSU Kementerian Komunikasi edar 200 bungkusan promosi Hari Malaysia 2026 di LTAK

Isu Baja 3 lewat, pengarah urusan ditahan SPRM

Isu Baja 3 lewat, pengarah urusan ditahan SPRM

Gagasan Rakyat yakini pendekatan jelas Hajiji pertahan, selesai segera 40 peratus hak Sabah

  • By Fatin
  • September 13, 2026
Gagasan Rakyat yakini pendekatan jelas Hajiji pertahan, selesai segera 40 peratus hak Sabah

48 jurutera empat negara bina kemudahan Klinik Kesihatan Telipok

  • By Ezmie
  • September 13, 2026
48 jurutera empat negara bina kemudahan Klinik Kesihatan Telipok

Lebih 3,000 serbu Program MADANI Kita di Gopeng

Lebih 3,000 serbu Program MADANI Kita di Gopeng