KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) diseru bermuhasabah selepas UMNO kini membuka ruang kerjasama dengan Pas disebabkan tekanan yang diterima gabungan itu dalam memilih antara kuasa dan prinsip.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pengalaman berdepan PH termasuk dalam isu yang menyentuh prinsip, maruah serta sensitiviti Melayu dan Islam menyebabkan UMNO perlu menilai semula hala tuju politiknya.
Menurut beliau, UMNO tidak perlu malu atau takut untuk mengakui Pas sebagai satu lagi kekuatan besar politik Melayu dan Islam, malah perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan kerjasama kedua-dua parti mampu menghasilkan kekuatan lebih besar.
“Kalau ada yang tanya kita kenapa UMNO mahu bersama dan mengubah jalur politiknya untuk bersama dengan Pas, saya nak beritahu, jangan tanya UMNO tetapi tanyalah PH, mengapa mereka berkali-kali memaksa UMNO memilih antara kuasa dan juga prinsip.
“Pas ialah satu lagi blok besar politik Melayu Islam. Itu kita kena akui dan mengakui realiti itu tidak pernah langsung mengecilkan peranan UMNO, sebaliknya, ia menunjukkan keberanian kita untuk berhadapan dengan hakikat,” katanya.
Akmal berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menjadi antara bukti jelas kekuatan yang boleh terhasil apabila UMNO dan Pas tidak lagi bertembung sesama sendiri.
“Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa UMNO dan Pas boleh saling menyokong apabila kepentingan ummah diletakkan mengatasi persaingan,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan Oktober Labu, BN memenangi 18 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, menjadikan keseluruhan 25 kerusi yang bukan sahaja mencukupi untuk membentuk kerajaan, malah memberikan majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri.
Bagaimanapun, Akmal menegaskan penyatuan politik tidak boleh sekadar menghasilkan angka kerusi, rundingan kuasa atau kemeriahan di pentas politik sebaliknya mesti diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai rakyat.
“Penyatuan tak boleh berhenti dekat meja politik sahaja. Hari ini kita bercakap pasal penyatuan ummah. Ya, betul. Itulah fundamental kita. Itulah asas perjuangan kita tetapi itu tak cukup lagi.
“Kerana apa? Hari ini penyatuan mesti dilihat sampai ke meja makan rakyat kerana akhirnya rakyat tak mahu melihat siapa yang duduk semeja. Rakyat mahu tahu apa yang sampai atas meja makan mereka,” katanya.
Beliau berkata, isu harga barang, bil elektrik, harga minyak dan pengurangan subsidi perlu diberi perhatian kerana rakyat tidak mahu penyatuan politik hanya menjadi slogan tanpa memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Kalau harga barang masih terus merempit, bil elektrik terus meningkat, minyak makin mahal dan banyak subsidi dipotong maka penyatuan ini belum lagi membawa makna sepenuhnya kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Akmal turut menegaskan, UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan menjual janji politik yang tidak mampu dilaksanakan, sebaliknya dasar yang ditawarkan mesti realistik dan mempunyai kesan nyata kepada rakyat.
“UMNO berbeza. UMNO apabila kita tawarkan sesuatu, dasar itu mesti realistik. Dasar itu mesti boleh dilaksanakan dan benar-benar dirasai manfaatnya. Kita tak mahu jual angan-angan. Kita tak mahu kencingkan rakyat. Kita mahu menawarkan penyelesaian kepada rakyat,” katanya.



