KUALA LUMPUR – Keperluan agar isu kesihatan mental generasi muda diberi perhatian lebih awal sebelum tekanan yang dihadapi mereka membawa kepada tragedi.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ibu bapa kini berdepan cabaran baharu apabila anak-anak bukan sahaja dibentuk oleh keluarga dan sekolah tetapi turut dipengaruhi dunia digital.
Menurut beliau, golongan muda kini terdedah kepada tekanan, buli siber, penipuan, kandungan pornografi dan teknologi palsu yang semakin sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.
“Hari ini, anak-anak kita bukan hanya dibesarkan oleh keluarga dan sekolah. Mereka juga sedang dibesarkan oleh algoritma.
“Kita bertanya tentang pelajaran mereka. Kita bertanya tentang pekerjaan mereka. Tetapi berapa kerap kita bertanya, adakah mereka benar-benar baik-baik sahaja?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Sehubungan itu, Noraini memaklumkan, Wanita UMNO akan memperkenalkan Sahabat Nurani bagi menyediakan sokongan kepada generasi muda melalui pendekatan kesihatan mental, psikologi, pendidikan emosi dan dakwah.
Beliau berpandangan, peranan Wanita UMNO perlu dilihat lebih luas kerana wanita bukan sekadar ibu kepada anak-anak di rumah, tetapi juga berperanan membentuk generasi akan datang.
“Kita mahu mereka mempunyai tempat untuk bercerita. Tempat untuk didengar. Dan tempat untuk mendapatkan bantuan.
“Jangan tunggu sehingga tangisan menjadi tragedi. Jangan tunggu sehingga keluarga kehilangan insan yang mereka sayangi,” katanya.








