SERDANG – Kerajaan wajib membatalkan kontrak syarikat yang berulang kali gagal memenuhi tanggungjawab kepada petani yang memberi kesan negatif terhadap hasil golongan terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan melantik syarikat baharu susulan program bantuan pertanian tidak seharusnya terjejas hanya disebabkan kegagalan berulang syarikat yang diberi tanggungjawab membekalkan keperluan atau menyediakan perkhidmatan.
Beliau menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menyiasat kelewatan pengagihan baja kepada pesawah di Kedah kerana kelewatan itu menjejaskan pesawah yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan dan mengemukakan memorandum kepadanya.
“Kita perlu tahu apa puncanya. Syarikat mana yang diberi tanggungjawab, adakah mereka memenuhi janji atau tidak? Jika tidak, mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka.
“Kalau syarikat seperti ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan (kontrak). Ambil syarikat baharu, jangan jadikan petani dan pesawah sebagai mangsa, (perlu) ambil tindakan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), pada Ahad.
Terdahulu, kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum menerima baja tambahan, sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi pada musim ini.
Isu kelewatan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) itu turut mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu yang membatalkan kontrak dan menggantikan dengan NPK Fertilizer Sdn Bhd, anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Mohamad berkata, masalah kelewatan itu akan diselesaikan segera dengan penghantaran baki bekalan sudah bermula Rabu lalu.
Katanya, masalah kelewatan pembekalan baja itu bukan kali pertama berlaku dan pihak KPKM sentiasa mencari penyelesaian yang terbaik.





