
TUARAN – Punca sebenar seorang wanita berusia 24 tahun di Batu Pahat, Johor, yang dilaporkan terlantar selepas mengambil Mounjaro masih belum dapat dipastikan dan kini menunggu dapatan lanjut pihak kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau belum menerima maklumat lengkap mengenai kes berkenaan dan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sebelum siasatan serta penilaian klinikal selesai.
“Sejujurnya saya tidak tahu, saya belum dapat kes itu. Baru saja masuk.
“Saya belum kenal pasti apa sebenarnya yang menjadi masalah kepada pesakit itu. Jadi, saya tidak boleh komen lebih daripada itu,” katanya semasa ditemui media selepas menghadiri Program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBATS) Peringkat Zon Borneo di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, di sini, pada Sabtu.

Dzulkefly berkata, pihaknya kini menunggu dapatan daripada jabatan dan bahagian berkaitan, termasuk pihak kesihatan di Johor, bagi mengenal pasti punca sebenar keadaan wanita terbabit.
“Saya menunggu untuk mendapatkan dapatan daripada jabatan dan bahagian itu supaya saya dapat diberitahu apa sebenarnya masalah itu,” jelasnya.
Menurutnya, Mounjaro dan Ozempic merupakan ubat daripada kumpulan GLP-1 agonis yang berdaftar dan penggunaannya perlu berada dalam lingkungan amalan klinikal.
“Kalau dikatakan Mounjaro ataupun Ozempic, semua itu adalah GLP-1 agonis yang berdaftar.
“Ia dalam lingkungan amalan klinikal dan hanya boleh dipreskripsi oleh pengamal perubatan yang berdaftar,” katanya.

Kedua-dua ubat berkenaan telah melalui proses pendaftaran dengan Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) dan penggunaannya tidak menjadi masalah sekiranya dikendalikan dengan betul oleh pengamal perubatan berdaftar.
“Pada saya itu tidak masalah sebab ia telah melalui NPRA dan sudah didaftar,” katanya.
Bagaimanapun, Dzulkefly berkata, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada kes berkenaan berpunca daripada Mounjaro atau Ozempic yang berdaftar, produk tidak disahkan atau bahan yang telah dicampurkan.
“Saya belum pasti lagi apa yang disebutkan di sini. Sama ada ia dicampur dengan bahan lain, ertinya ada campuran atau tidak, itu semua saya tidak boleh kata,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mounjaro dan Ozempic adalah ubat yang selamat apabila digunakan dalam pengawasan klinikal yang betul, termasuk mengikut preskripsi dan dos ditetapkan.
“Kalau Ozempic atau Mounjaro ini dalam pengawasan klinikal yang betul, ia adalah ubat yang selamat kalau dipreskripsi dan diambil mengikut bagaimana ia perlu diambil tanpa sebarang masalah dos dan sebagainya,” kongsinya.
Dzulkefly berkata, beliau akan menunggu penjelasan daripada doktor yang terlibat serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor sebelum sebarang kenyataan lanjut dibuat.
“Saya menantikan jawapan yang lebih terperinci daripada doktor-doktor kita dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
“Mungkin Ketua Pengarah kita akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci,” tegasnya.






