
KOTA KINABALU – Murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Babagon Toki, Inanam kini menikmati kemudahan pembelajaran dan sukan yang lebih selesa menerusi projek Engineering Civil Action Program (ENCAP) di bawah Pacific Partnership 2026 (PP26).
Markas Angkatan Bersama memaklumkan, projek yang dilaksanakan dari 3 Ogos hingga 4 September itu merangkumi pemasangan jubin baharu di gelanggang sukan, kerja mengecat semula bangunan sekolah serta pembinaan menara tinjau.
“Penambahbaikan berkenaan menyediakan persekitaran sekolah yang lebih kondusif, ceria dan selesa, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada murid serta warga pendidik.
“Projek itu dilaksanakan secara bersama oleh 22 anggota Tim 5 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Markas 5 Divisyen Infantri Tentera Darat Malaysia dan 23 anggota US Seabees Naval Mobile Construction Battalion 5 (NMCB 5).
“Turut terlibat ialah masing-masing enam anggota Australian Army dan Republic of Korea Army Engineer, sekali gus mencerminkan kerjasama pasukan kejuruteraan pelbagai negara dalam melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan tersebut, program ENCAP turut memperkukuh hubungan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia, Amerika Syarikat, Australia dan Republik Korea.
“Kehadiran Pengarah Eksesais PP26, Kolonel Ismail bin Mohamed dan Amerika Syarikat Captain Robert “Smeagol” Reyes, Mission Commander, menyerlahkan komitmen kepimpinan dalam memastikan projek ini memberi manfaat optimum kepada komuniti setempat.
“Ia sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan solidariti antarabangsa dalam mempertingkat kesejahteraan masyarakat.
“Lebih menarik lagi, Tentera Republik Korea Selatan telah memberi sumbangan goodies seperti peralatan alat tulis dan cenderamata dari Korea Selatan, serta sumbangan minuman susu segar daripada Desa Integrated Food Industries Sdn. Bhd yang menjadi penaja minuman kepada program School Engagement di sekolah-sekolah terpilih,” katanya.

Tambahnya lagi, selain manfaat pendidikan, lokasi SK Babagon Toki turut mempunyai nilai tambah sebagai tarikan pelancongan.
“Pemandangan indah dan menarik dari menara tinjau baharu yang siap dibina menjadikan sekolah ini bukan sahaja pusat pembelajaran tetapi juga destinasi komuniti yang berpotensi menarik minat pelawat untuk menikmati panorama semula jadi kawasan Inanam,” ujarnya.
Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Eksesais PP26, Kolonel Ismail bin Mohamed bersama rakan negara penganjur dari Amerika Syarikat Captain Robert “Smeagol” Reyes, Mission Commander, bagi menyempurnakan acara simbolik pemotongan reben sebagai tanda rasmi penyerahan projek kepada pihak sekolah dan komuniti setempat.
Turut hadir, Charge d’Affaires Kedutaan Amerika Syarikat, Mr. David H Gamble, Jr.








