
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memperkukuh kerjasama strategik dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan mampan industri perikanan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini.
MoU yang dimeterai pada 2 September sempena Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism Show (MAHA) 2026 di Serdang itu melibatkan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), UNIMAS dan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Bintawa.
Kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek penyelidikan RMK13 bertajuk “Penyelidikan Holistik ke Atas Penggunaan Pengawet dan Bahan Pencemar Logam Berat Dalam Industri Perikanan di Sarawak” bernilai RM90,000.
Projek itu memberi fokus kepada pembangunan formulasi bahan pengawet berasaskan sumber semula jadi bagi hasil perikanan, khususnya untuk mengekalkan kesegaran, kualiti dan keselamatan produk.
“Kerjasama ini membolehkan kepakaran penyelidik UNIMAS dan DOF digabungkan bagi menghasilkan penyelesaian berasaskan sains yang mampu memberi manfaat langsung kepada industri perikanan,” menurut kenyataan UNIMAS pada hari ini.

Menerusi projek tersebut, penyelidik akan menjalankan kajian meliputi pembangunan dan penilaian formulasi pengawet semula jadi, perubahan kimia, pengoksidaan lipid dan protein, analisis mikrobiologi serta penerimaan sensori.
Projek berkenaan diketuai Dr Ahmad Syafiq Ahmad Nasir dari FSTS, UNIMAS, manakala pasukan penyelidikan IPP Bintawa diketuai Puan Nur Amalina Mohd Razikin.
Kerjasama UNIMAS dan DOF bukan perkara baharu, malah telah terjalin sejak 2016 menerusi projek penyelidikan sistem penggemukan ketam yang diketuai Prof. CiDe Dr. Saiful Bahari Mohd Yusoff dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), UNIMAS.
Kerjasama itu kemudiannya berkembang melalui pembangunan inovasi Rumah Ketam UNIMAS (RKU) pada 2018 bagi spesies ketam bakau.
Dengan sokongan teknikal DOF, inovasi berkenaan berjaya meraih gelaran juara Malaysian Commercialization Year (MCY) 2018 dalam kategori Inovasi Sosial.
Dalam pada itu, kerjasama kedua-dua institusi turut menghasilkan inovasi PROKA (Propagasi Karang) dan reka bentuk tukun tiruan Culvert-PROKA, yang menyokong usaha pemuliharaan ekosistem marin serta pembangunan sumber perikanan.
“Sinergi ini turut membuka peluang kepada pembangunan penyelidikan pascasiswazah, khususnya dalam bidang reka bentuk tukun tiruan dan propagasi karang di perairan Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Pada 2025, kerjasama berkenaan diperluaskan menerusi pembangunan tukun udang kara mudah alih di Sematan, Sarawak, selain perancangan projek berkaitan ikan sirip kuning (Thunnus albacares) di Sabah di bawah pembiayaan Standards and Trade Development Facility (STDF).
“Melalui sinergi yang berterusan, UNIMAS dan DOF komited menyumbang kepada kelestarian sumber perikanan, pemerkasaan industri, pembangunan modal insan serta pengukuhan sekuriti makanan negara,” jelas kenyataan berkenaan.








