PUTRAJAYA – Program penghantaran pulang secara sukarela membabitkan 5,000 pelarian rakyat Myanmar disifatkan berpotensi mengurangkan sebahagian keresahan rakyat berkaitan isu kehadiran warga asing, khususnya isu pelarian Rohingya.
Penganalisis sosiopolitik, hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, langkah itu mampu mengurangkan kebimbangan terhadap tekanan dari sudut kemudahan awam, peluang pekerjaan dan aspek keselamatan.
“Inisiatif penghantaran pulang secara sukarela warga Myanmar yang layak merupakan satu langkah yang boleh memberi manfaat kepada Malaysia dari aspek keselamatan negara, pengurusan migrasi dan hubungan antarabangsa.
“Pelaksanaan secara teratur dapat membantu kerajaan menguruskan kehadiran warga asing dengan lebih sistematik serta mengurangkan risiko berkaitan migrasi tidak teratur, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.

Bagaimanapun, Nur Ashikin berpandangan, keresahan rakyat juga perlu dituntaskan menerusi pengurusan status pelarian lebih jelas, pendaftaran dan dokumentasi sistematik serta penguatkuasaan yang berkesan.
Menurut beliau, isu Rohingya perlu dilihat secara berbeza daripada isu migran ekonomi atau pendatang tanpa dokumen kerana terdapat aspek perlindungan dan kemanusiaan yang perlu dipertimbangkan.
“Sekiranya pemulangan dilakukan kepada individu yang masih berdepan risiko keselamatan atau penganiayaan di Myanmar, ia bukan sahaja menimbulkan persoalan kemanusiaan, malah boleh memberi kesan kepada imej dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya berpandangan bahawa pemulangan Rohingya semata-mata tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kepada keresahan rakyat. Kerajaan juga perlu menangani punca keresahan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, inisiatif itu disifatkan tidak menjejaskan hubungan Malaysia bersama negara-negara ASEAN, khususnya Myanmar jika dilaksanakan melalui kerjasama diplomatik dan berdasarkan prinsip pemulangan yang selamat, sukarela dan bermaruah,
Beliau berpandangan, langkah itu boleh menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama Malaysia-Myanmar dalam isu migrasi dan keselamatan rentas sempadan.

“Hujahan kritikalnya ialah Malaysia perlu mencari keseimbangan antara kepentingan keselamatan negara dengan tanggungjawab kemanusiaan. Keresahan rakyat memang perlu diambil serius, tetapi ia tidak boleh diterjemahkan kepada dasar yang melihat semua pelarian Rohingya sebagai ancaman.
“Pendekatan yang lebih berkesan ialah memastikan siapa yang berada di Malaysia dikenal pasti, didokumentasikan dan diurus berdasarkan status serta tahap risiko masing-masing,” katanya.
Sehuhungan itu, Nur Ashikin memaklumkan,
pendekatan pemulangan secara sukarela boleh mengurangkan sebahagian keresahan rakyat, tetapi tidak akan menyelesaikan isu warga asing dan pelarian secara keseluruhan.
“Penyelesaian jangka panjang memerlukan gabungan pengurusan migrasi yang lebih baik, kawalan sempadan, penguatkuasaan, kerjasama diplomatik dengan Myanmar dan ASEAN serta mekanisme perlindungan kemanusiaan yang jelas,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan telah memuktamadkan pelaksanaan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela membabitkan 5,000 pelarian rakyat Myanmar yang layak ke negara asal.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, bagi tahun 2026, seramai 5,000 individu akan menjalani proses penghantaran pulang berkenaan secara berperingkat sebagaimana yang dipersetujui oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar.





