
SANDAKAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan lapan syor penambahbaikan tatakelola susulan penyiasatan terhadap pengurusan Projek Pembinaan Jalan Dua Hala Lintasan Libaran dan Projek Menaiktaraf Jalan Gum-Gum Kecil di daerah Sandakan.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, kedua-dua projek berkenaan merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dan antara perkara yang diberi perhatian dalam penyiasatan tatakelola SPRM Sabah.
“Antara syor yang dikemukakan adalah mewujudkan garis panduan lengkap dan terperinci berkaitan proses pembayaran kontrak kerja serta pembekalan.
“Selain itu, naik taraf dan mengintegrasikan sistem pengurusan tuntutan sedia ada, mewujudkan kod bayaran khusus bagi Akaun Amanah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta mewujudkan Akaun Amanah di bawah JKR Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurutnya, syor lain termasuk mewujudkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan Akaun Amanah serta Pekeliling Penubuhan dan Tanggungjawab Jawatankuasa Contract Coordinator Panel (CCP).
“Turut disyorkan Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap bagi Projek Sakit.
“SPRM Sabah turut mengesyorkan penambahbaikan garis panduan sedia ada dengan mewujudkan satu Pekeliling Pentadbiran Kontrak dan menambah baik pelaksanaan penggunaan borang standard JKR Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Timbalan Bendahari Negeri Sabah (Pembangunan), Hamdan Hamzani dan Pengarah JKR Sabah, Baharuhom K.K. Sogon menyambut baik syor berkenaan serta bersedia meneliti tindakan susulan, termasuk mengemas kini garis panduan dan menaik taraf sistem sedia ada.
Untuk rekod, persetujuan terhadap syor berkenaan dizahirkan menerusi penandatanganan Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan Mohd Fuad, selepas kesemua syor tersebut dibentangkan beliau di Bilik Mesyuarat Kementerian Kewangan Sabah, Kota Kinabalu, pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham.




