NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu perjudian di negeri itu yang didakwa turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahfuz berkata, perbezaan pendirian mengenai perjudian tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pemimpin menggunakan bahasa yang menghina atau mengajak rakyat mendoakan keburukan terhadap pemimpin negara.
Menurutnya, keputusan mahkamah berhubung isu berkenaan tidak wajar dipolitikkan seolah-olah ia merupakan keputusan peribadi Perdana Menteri.
“Kalah di mahkamah bukan bermakna PMX yang salah dan keputusan mahkamah bukan lesen untuk memaki Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz turut mempersoalkan naratif bahawa Perdana Menteri secara tiba-tiba ‘meluluskan judi di Kedah’, sebaliknya berkata isu sebenar perlu dilihat daripada sudut bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Kalau hujah undang-undang kuat, bentangkan hujah undang-undang. Jangan apabila hujah semakin lemah, suara pula semakin kuat,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz mengingatkan Sanusi supaya tidak menggunakan nama seluruh rakyat Kedah bagi menyokong kenyataan atau kecaman terhadap Perdana Menteri.
Katanya, rakyat Kedah mempunyai pendirian dan pertimbangan masing-masing serta tidak semestinya bersetuju dengan bahasa yang digunakan oleh mana-mana pemimpin politik.
“Rakyat Kedah bukan perisai untuk menghalalkan bahasa seorang pemimpin,” katanya.
Mahfuz turut membangkitkan persoalan mengenai aspek akhlak Islam dalam perbahasan berkaitan perjudian.
Katanya, menolak perjudian boleh menjadi satu pendirian agama, namun perjuangan tersebut tidak sepatutnya disertai dengan penghinaan atau doa keburukan terhadap individu lain.
“Kita boleh menentang maksiat tanpa memaki manusia. Kita boleh berbeza tanpa menghina dan kita boleh tegas tanpa menjadi kasar,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan Pas bahawa parti itu pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, namun perjudian berlesen tidak dihapuskan di seluruh negara ketika berada dalam kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian Pas dalam isu perjudian apabila berada di luar dan di dalam kerajaan.
“Kalau judi begitu besar dosanya, mengapa ketika Pas berada dalam Putrajaya dahulu ia tidak dihapuskan seluruh negara?” soalnya.
Sehubungan itu, Mahfuz mencabar Pas memasukkan komitmen untuk menghapuskan perjudian berlesen di seluruh Malaysia ke dalam manifesto pilihan raya umum akan datang.
Katanya, langkah tersebut dapat membuktikan sama ada pendirian Pas mengenai isu perjudian benar-benar konsisten dan bersungguh-sungguh.
“Pas, masukkan dalam manifesto PRU akan datang bahawa jika Pas dan PN membentuk kerajaan Persekutuan bersama UMNO dan BN, Pas akan menghapuskan perjudian berlesen di seluruh Malaysia.
“Nyatakan dasar dan mekanisme. Biar rakyat mengundi berdasarkan janji yang jelas, bukan ceramah yang berapi-api,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa perjuangan agama seharusnya diterjemahkan melalui akhlak dan dasar yang jelas, bukannya sekadar slogan politik.
“Kalau berani menjerit ‘hapuskan judi’, beranilah menulisnya dalam manifesto.
“Kalau hujah kamu kuat, kamu tidak perlukan makian. Kalau dasar kamu benar, kamu tidak perlukan sumpahan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Kedah memerlukan kepimpinan yang tegas tetapi tetap menjaga adab, selain mampu berbeza pandangan tanpa mengorbankan akhlak.
Mahfuz menegaskan, beliau tidak mempertahankan perjudian, sebaliknya mahu isu tersebut dibahaskan berdasarkan Perlembagaan, undang-undang, dasar serta akhlak dalam kepimpinan.
“Jangan jadikan kekalahan undang-undang sebagai kemenangan propaganda. Dalam negara demokrasi dan berperlembagaan, kerajaan negeri juga tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.




