
TAMPARULI – Kira-kira 80 peratus kerja mengeringkan dan membersihkan kawasan yang sebelum ini tercemar akibat air daripada sistem biogas di Kampung Kauluan, di sini, telah diselesaikan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkembangan itu hasil beberapa langkah penambahbaikan yang diarahkan kepada pihak syarikat, termasuk pelantikan jurutera baharu yang diberi tanggungjawab khusus mengurus aspek alam sekitar dan biogas.
“Saya agak berpuas hati berkenaan usaha untuk mengeringkan kawasan yang sebelum ini tercemar dengan air daripada biogas. Sudah lebih kurang 80 peratus selesai dan beberapa langkah yang kita minta pihak syarikat buat juga telah dilaksanakan.
“Pelantikan jurutera baharu itu penting. Dia tidak lagi menjaga ayam, tetapi fokus menjaga alam sekitar, fokus menjaga orang kampung. Kalau orang kampung mengadu, dia perlu turun tengok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan susulan di Kampung Kauluan pada Rabu.
Tambah Jamawi, beliau akan melakukan tinjauan susulan dalam tempoh tiga bulan lagi bagi menilai perkembangan usaha berkenaan.
“Dalam tempoh berkenaan kemasukkan anak ayam baharu ke ladang berkenaan tidak akan dibenarkan bagi mengurangkan sementara pengeluaran ayam, sekali gus memberi ruang kepada pihak syarikat membersihkan kolam-kolam yang tercemar dan memindahkan bahan berlebihan ke kolam baharu.
“Selepas tiga bulan, kita nilai. Kalau semuanya berjalan lancar, syarikat boleh menambahkan anak ayam baharu. Tetapi kalau tidak berjalan lancar, kita akan hentikan lagi dan operasi mungkin tinggal 50 peratus,” tegasnya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri amat tegas dalam menangani isu berkenaan dan pemantauan turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah serta wakil jabatan berkaitan.
“Hampir 60 peratus masalah yang berada dalam bidang kuasa pihak MAFFI di Kauluan dan kawasan ladang berkenaan dapat diselesaikan hasil tinjauan dan perbincangan hari ini, manakala baki 40 peratus melibatkan perkara di luar bidang kuasa kementeriannya.
“Berkenaan pencemaran bunyi dan bau, saya akan minta Ketua Kampung kemukakan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar. Bagi pihak kami, kami akan susulkan.
“Veterinar sudah selesai, jadi kita minta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bantu untuk segala perkara yang lain. Saya akan turut susuli dan pastikan perkara ini bergerak,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, pihaknya juga bersedia bekerjasama dengan JAS bagi mengurangkan kesan bau yang timbul daripada operasi berkenaan.
“Kerajaan turut merancang supaya kawasan berkenaan ditanam dengan jagung menerusi kerjasama pihak syarikat dan penduduk kampung.
“Di kawasan ini kita akan minta pihak syarikat tanam jagung bersama orang kampung. Jagung yang kita hasilkan akan diberikan kepada ayam di sini untuk dijadikan makanan.
“Jadi ayam Kauluan ini akan menjadi pengguna pertama jagung yang dihasilkan oleh penduduk Kauluan,” kongsinya.
Menurut Jamawi, pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat memanfaatkan tanah, malah mewujudkan hubungan kerjasama antara penduduk kampung dan pihak syarikat dalam mengembangkan aktiviti pertanian setempat.
Tambahnya lagi, kerajaan akan terus memantau semua tindakan pembetulan bagi memastikan isu pencemaran yang berlaku dapat ditangani secara menyeluruh serta tidak menjejaskan penduduk setempat.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Zul Bahar Abdul Rashid serta pegawainya; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Tamparuli, Jefrey Teo, penduduk kampung yang terbabit serta pihak syarikat perunding (consultant) yang mengatasi dan menyelesaikan masalah disi







