
KOTA KINABALU – Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut akibat renjatan elektrik di Beaufort, pada Khamis.
Mangsa dikenali sebagai Chiu Teck Siong, 40, Mohammad Nur Hafiz Ibrahim, 29 dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan rasa dukacita menerusi hantaran di Facebook rasminya sejurus menerima berita sedih berkenaan.
“Dukacita menerima berita pemergian tiga anggota PDRM yang terkorban dalam satu tragedi dipercayai terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah hari ini.
“Saya telah meminta agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian tragis ini.
“Langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seperti ini tidak berulang,”katanya menerusi hantaran itu.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta warga PDRM.
“Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” ujarnya.
Dalam kenyataan berasingan, Sabah Electricity Sendirian Berhad (Sabah Electricity) turut mengesahkan kejadian tersebut berlaku di kawasan Weston, Beaufort.
Sabah Electricity memaklumkan bahawa pasukan teknikalnya telah digerakkan ke lokasi bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
“Pihak Sabah Electricity memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan agensi berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” ujar Sabah Electricity.
Sehubungan itu, Sabah Electricity memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.



