
TAWAU – Sebanyak empat lokaliti wabak denggi masih aktif direkodkan di daerah ini sehingga Selasa (Minggu Epidemiologi 29) melibatkan keseluruhan 15 kes yang direkodkan.
Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau menerusi kenyataan memaklumkan, lokaliti berkenaan ialah Batu 4 Kinabutan Kecil (4 kes), Tinagat Batu 7 (3 kes), Kampung Baru Pasir Putih Melur (4 kes) dan Kampung Baru Pasir Putih Mawar (4 kes).
“Kampung Baru Pasir Putih (Mawar) merupakan satu-satunya lokaliti baharu wabak denggi yang diisytiharkan pada minggu lepas.
“Dua lokaliti turut merekodkan pertambahan kes pada minggu lepas, iaitu Kampung Baru Pasir Putih (Melur) dengan satu kes baharu dan Kampung Baru Pasir Putih (Mawar) dengan pertambahan dua kes,” menurut PKK Tawau, pada Rabu.
Semua lokaliti berkenaan kini berada dalam kategori wabak terkawal hasil tindakan pemantauan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak kesihatan.
Walau bagaimanapun, PKK Tawau menasihatkan orang ramai agar terus mempertingkatkan usaha pencegahan denggi dengan memastikan kawasan kediaman bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Orang ramai diingatkan supaya terus memainkan peranan dalam mencegah pembiakan nyamuk Aedes dengan melaksanakan aktiviti gotong-royong sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu, menghapuskan bekas takungan air, memastikan semua bekas simpanan air ditutup rapat serta menggunakan semburan aerosol pada waktu yang sesuai.
“Pemilik premis yang didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975,” tegas PKK Tawau.





