Kemerdekaan perlu diisi dengan perpaduan, bukan sekadar kibar Jalur Gemilang – PM

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa sambutan Hari Kebangsaan tidak seharusnya sekadar menjadi acara tahunan atau mengibarkan Jalur Gemilang.

Anwar berkata, sebaliknya ia perlu dihayati sebagai medan memperkukuh perpaduan, mengenang sejarah perjuangan negara dan membina Malaysia yang lebih maju serta bermaruah.

Katanya, rakyat tidak boleh melupakan sejarah hitam penjajahan yang menyaksikan negara kehilangan kekayaan, khazanah, maruah dan hak menentukan masa depan sendiri apabila kuasa asing menguasai Tanah Melayu.

“Peristiwa seperti kejatuhan Melaka kepada Portugis dan termeterainya Perjanjian Pangkor menjadi bukti bagaimana nasib negara suatu ketika dahulu ditentukan oleh kuasa luar.

“Manakala hasil bumi serta khazanah negara dibawa keluar sehingga rakyat hidup dalam kesengsaraan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di sini, pada Ahad.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurur Anwar, setiap kali menyambut kemerdekaan, rakyat tidak boleh melupakan kenyataan sejarah yang mana negara pernah dijajah dalam keadaan yang amat getir sehingga segala kekayaan dan khazanah dirampas.

“Penjajahan bukan sahaja merampas hasil bumi, malah turut menjajah pemikiran dan jiwa rakyat.

“Kita diasuh mengikut budaya, bahasa dan cara fikir penjajah sehingga hilang keyakinan terhadap kekuatan sendiri serta ketinggian tamadun Islam,” katanya.

Anwar berkata, kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya ditebus melalui pengorbanan darah, keringat dan air mata para pejuang terdahulu yang berjuang mengembalikan maruah negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kemerdekaan mesti terus diisi dengan usaha memperkukuh perpaduan, membangunkan negara, memperkasa institusi dan meningkatkan taraf hidup rakyat, bukannya sekadar diraikan melalui acara simbolik.

Menurut beliau, sesebuah negara belum benar-benar merdeka sekiranya rakyat masih dibelenggu pemikiran sempit, sentimen perkauman dan sikap yang menafikan penyertaan mana-mana kelompok dalam arus pembangunan negara.

“Orang Melayu sebagai tunjang negara perlu terus diperkasakan, namun kemajuan Malaysia hanya mampu dicapai sekiranya seluruh rakyat bersatu tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Mengapa kita masih sibuk memperkatakan soal warna kulit? Kita tidak boleh menafikan penyertaan semua rakyat Malaysia. Kalau berpakat dan bersekutu, bertambah mutu.

“Semangat ‘Unity in Diversity’ perlu menjadi pegangan kita. Jadikan Perak dan Malaysia sebuah negara yang bersatu untuk meningkatkan kehidupan rakyat, bukannya bersatu untuk mencuri balak atau merompak harta negara,” katanya.

Anwar menambah, pendekatan Malaysia MADANI yang menjadi teras pentadbiran kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan berasaskan nilai, di samping memperkukuh sektor strategik seperti semikonduktor, teknologi hijau dan automotif bagi meningkatkan daya saing negara.

Ujarnya, Perak kini muncul sebagai antara hab penting industri automotif negara, selain pembangunan teknologi baharu termasuk projek di Kerian yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi masa depan.

Dalam pada itu, beliau mengakui dunia sedang berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dan kos sara hidup.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan terus komited melindungi kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan peruntukan kira-kira RM20 bilion serta pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam tahun ini sebagai usaha memastikan manfaat kemerdekaan dapat dirasai seluruh rakyat.

“Saya percaya Malaysia mampu menjadi sebuah negara hebat sekiranya seluruh rakyat bersatu hati, bekerja keras dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala perbezaan.

“Kita bukan sekadar mahu mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi mahu melahirkan generasi yang benar-benar bertekad menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, maju dan bermaruah,” katanya.

Foto: Bernama

Related Posts

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

MIRI – Kesemua lima mangsa yang menaiki sebuah helikopter sewa khas bagi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat berkenaan terhempas di hujung landasan STOLport Long Lellang pada petang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar

KUALA LUMPUR – Ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu turun padang bagi mengenal pasti serta menyelesaikan segera masalah yang menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar