
SEREMBAN – Bermula sebagai seorang pendidik, sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Norazman Mohamad, kini bersedia membawa pengalaman itu ke peringkat lebih luas sebagai wakil rakyat.
Nor Azman berkata, pengalaman sebagai guru membentuk dirinya untuk memahami keperluan masyarakat, manakala pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri pula memberi pendedahan mengenai cabaran serta usaha menyelesaikan isu rakyat.
Beliau berkata, setiap fasa kerjaya yang dilalui menjadi ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan amanah sebagai calon DUN Sikamat adalah kesinambungan kepada usaha itu.
“Bagi saya, setiap peluang bertemu masyarakat merupakan ruang untuk berkhidmat. Ketika saya bergelar guru, saya berkhidmat dalam bidang pendidikan.
“Apabila diberi peluang bersama pentadbiran kerajaan negeri sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar, saya terus belajar mengenai isu rakyat dan bagaimana kita membantu menyelesaikannya,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) selepas proses penamaan calon di sini, hari ini.
Menurut Nor Azman, sekiranya diberi kepercayaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ruang untuk saya berbakti kepada masyarakat akan menjadi lebih luas.
Nor Azman berkata, jawatan wakil rakyat bukan sekadar membawa gelaran Yang Berhormat, sebaliknya merupakan amanah untuk terus mendahulukan kepentingan rakyat.
“Bagi saya, gelaran Yang Berhormat bukan sekadar satu panggilan, tetapi membawa makna yang lebih besar sebagai yang berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen, beliau akan memberi tumpuan mendekati lebih 34,000 pengundi DUN Sikamat, khususnya golongan muda, menerusi pendekatan secara bersemuka dan platform digital.
Nor Azman berkata, pengalaman berinteraksi dengan masyarakat sepanjang menjadi pendidik dan pegawai dalam pentadbiran kerajaan akan dimanfaatkan bagi memahami kehendak serta keperluan penduduk Sikamat.
Katanya, kempen PH akan memberi fokus kepada rekod perkhidmatan serta kesinambungan khidmat yang telah dibina di DUN Sikamat sebelum ini.
“Kita akan membawa politik yang matang dengan menghormati perbezaan pandangan, menerima fakta dan bersaing secara sihat melalui tawaran terbaik kepada rakyat,” katanya.
DUN Sikamat menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Pengumuman senarai calon dibuat oleh Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Baharudin yang juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sikamat di Pusat Penamaan Calon, Majlis Bandaraya Seremban Forest Heights, di sini, hari ini.
Berdasarkan pengumuman itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH-PKR), Nor Azman Mohamad.
Turut mencabar kerusi DUN berkenaan ialah calon Perikatan Nasional (PN-Wawasan), Datuk Razali Abu Samah, yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Melaka.





