KUALA KLAWANG – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir bersedia berdepan dengan calon lain termasuk sepupunya sendiri, Danni Rais.
Beliau menyifatkan pertandingan menentang Danni yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili Parti Wawasan Negara (Wawasan), sebagai lumrah dalam politik.
“Dalam politik (bersaing calon lawan dari kalangan saudara mara), ia lumrah. Adik-beradik, sepupu tak sepupu, itu biasa.
“Sehubungan itu, kita akan berlawan, tetapi dalam ruang lingkup politik yang sihat, insya-Allah,” katanya kepada media selepas pengumuman calon di Dewan Besar Kuala Klawang, pada Sabtu.
Bakri akan menghadapi saingan tiga penjuru menentang Danni dan Muhammad Adib Musa daripada BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 1 Ogos nanti.
Untuk rekod, Bakri berjaya mempertahankan kerusi Klawang pada PRN 2023 dengan majoriti 577 undi selepas memperoleh 4,598 undi bagi menewaskan calon PN, Danni Rais yang meraih 4,021 undi, manakala calon Bebas, Saiful Bahri Jaaman @ Sharman memperoleh 364 undi.
Beliau mula memenangi kerusi Klawang pada PRN 2018 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Baharudin Jali dan calon Pas, Mazly Yasin, sebelum mempertahankan kerusi tersebut pada PRN 2023.
Sementara itu, Pengerusi Wawasan, Tan Sri Rais Yatim yang juga ayah kepada Danni ketika ditemui menolak dakwaan bahawa pertandingan itu akan menjejaskan hubungan kekeluargaan mereka.
Beliau yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, pertandingan tidak melibatkan isu peribadi, sebaliknya isu kenegaraan, kenegerian, kemasyarakatan, ekonomi, budaya dan sebagainya.

“Mereka tidak bermusuhan. Mereka masih saling melawat, menghormati, tapi dalam perjuangan, masing-masing mempunyai pendirian. Saya mengasihi kedua-dua pihak.
“Seorang anak buah saya dan seorang lagi anak lelaki saya. Saya kata jangan hilang petua berkeluarga,” katanya.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, DUN Klawang mempunyai seramai 13,355 pengundi berdaftar pada PRN kali ini.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.





