
MUKAH – Dua keluarga menarik nafas lega selepas projek baik pulih kediaman mereka di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) DUN Tellian kini disahkan siap sepenuhnya mengikut standard yang ditetapkan.
Wajah kegembiraan itu disaksikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine ketika beliau mengadakan lawatan mengejut (spot check) ke atas lima buah rumah penerima bantuan dalam tempoh sehari pada Khamis.
Kedua-dua kediaman yang siap tersebut melibatkan rumah Jainah Jana di Kampung Tellian Tengah yang berwajah baharu selepas kerja penukaran atap selesai dilakukan oleh Syarikat Lipia Family Enterprise.
Sebuah lagi ialah rumah Joseph Ahok di Kampung Tellian Tradisi yang turut siap dibaik pulih sepenuhnya pada bahagian lantai beranda dan ruang dalaman oleh Syarikat Sri Mas Jaya Trading.
Menurut Royston, langkah turun padang secara agresif untuk memeriksa baki tiga buah rumah lagi di Kampung Tellian Ulu dan Kampung Tellian Tradisi adalah bagi memastikan pihak kontraktor mematuhi spesifikasi kerajaan.

“Kita mahu memastikan setiap sen peruntukan Kelompok Pertama Fasa 1/2026 ini diterjemahkan dengan kerja yang berkualiti.
Tiada kompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan penghuninya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam siri terjahan bermula jam 3 petang itu, beliau meninjau rumah Rosly Mapok di Kampung Tellian Ulu yang tertangguh seketika akibat hujan lebat, serta projek bumbung rumah Gelly @ Gilli Luis yang akan bermula tidak lama lagi.
Beliau turut singgah memeriksa status rumah Nari Mun di Kampung Tellian Tradisi yang usang sepenuhnya, di mana projek itu diuruskan terus menerusi peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Melalui kaedah gotong-royong bersama komuniti ini, kita mampu menjimatkan kos sekali gus memaksimukan bajet bagi membaiki lebih banyak komponen rumah yang rosak,” jelasnya.






