PILIHAN raya seharusnya menjadi medan pertandingan idea, dasar dan penyelesaian, bukannya pentas menakut-nakutkan rakyat dengan slogan yang diulang saban kali.
Malangnya, setiap kali menjelang pilihan raya, kita masih melihat kempen yang cuba menghidupkan semula naratif “bahaya DAP” seolah-olah itulah jawapan kepada segala masalah yang dihadapi rakyat.
Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, rakyat Negeri Sembilan sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang jauh lebih mendesak.
“Kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda, pembangunan ekonomi, pendidikan, kemudahan kesihatan serta isu perumahan merupakan persoalan yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan harian mereka.
“Persoalan-persoalan ini tidak akan selesai hanya dengan menuding jari kepada pihak lain. Contohnya seorang doktor yang baik bukan sekadar mengenal pasti penyakit, tetapi menawarkan rawatan. Jika doktor hanya terus bercakap tentang penyakit tanpa merawat pesakit, penyakit itu tetap tidak akan sembuh,” katanya.
Jelasnya lagi, begitulah juga dengan politik. Tugas pemimpin bukan sekadar menunjukkan siapa musuh, tetapi membentangkan penyelesaian yang mampu memperbaiki kehidupan rakyat.
“Ironinya, pihak yang paling lantang mengangkat slogan “bahaya DAP” hari ini pernah bekerjasama dengan DAP suatu ketika dahulu.
“Hari ini pula mereka begitu bersungguh-sungguh menawarkan kerjasama dengan UMNO sehingga meminta penyokong mereka mengundi calon Barisan Nasional dalam beberapa pilihan raya.
“Perubahan pendirian seperti ini menimbulkan persoalan tentang konsistensi dan prinsip yang sering mereka laungkan,” katanya.
Menurut Mahfuz lagi, rakyat hari ini jauh lebih matang. Mereka mampu menilai sama ada sesuatu pendirian berasaskan prinsip atau sekadar strategi politik yang berubah mengikut keperluan pilihan raya.
“Kepercayaan rakyat tidak lagi mudah dibina melalui slogan yang diulang-ulang, tetapi melalui rekod pentadbiran, integriti dan keupayaan menyelesaikan masalah.
“Pilihan raya Negeri Sembilan sewajarnya menjadi pertandingan idea tentang siapa yang mempunyai pelan terbaik untuk membawa kestabilan politik, memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda, meningkatkan mutu pendidikan dan memperbaiki taraf hidup rakyat,” ujarnya.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sekiranya Pas dan Perikatan Nasional benar-benar yakin dengan kemampuan mereka mentadbir, maka rakyat berhak melihat perbandingan yang jelas.
“Apakah pencapaian ekonomi, pembangunan, peluang pekerjaan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat di negeri-negeri SG4 yang diterajui Pas sehingga boleh dijadikan contoh lebih baik daripada Negeri Sembilan?
“Perbandingan berdasarkan data dan pencapaian jauh lebih bermanfaat daripada kempen yang hanya menimbulkan ketakutan,” katanya.
Politik yang matang bukan politik yang membina tembok permusuhan. Sebaliknya, ia adalah politik yang menyatukan masyarakat, menghormati kepelbagaian, mengurus perbezaan secara demokratik dan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa masa depan mereka akan menjadi lebih baik.
Negeri Sembilan memerlukan politik yang menawarkan harapan, bukannya kebimbangan.
Jelanya lagi, negeri ini memerlukan pemimpin yang bercakap tentang pelaburan, pekerjaan, pendidikan, kebajikan dan pembangunan, bukannya terus memusingkan rakyat dengan naratif lama yang semakin kehilangan daya tarikan.
Pada akhirnya, rakyat akan membuat pilihan berdasarkan satu persoalan yang mudah iaitu siapakah yang benar-benar membawa penyelesaian kepada kehidupan mereka?
Politik ketakutan tidak akan mengenyangkan rakyat. Politik penyelesaianlah yang mampu membina sebuah negeri yang lebih makmur, stabil dan sejahtera untuk semua.






