
BENTONG – Kerajaan Pahang terus memperkukuh agenda kebajikan apabila melancarkan Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Mualaf, sekali gus memperkasa pembangunan dan kesejahteraan golongan saudara baharu di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh syiar Islam di negeri ini, di samping memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Pada masa sama, menerusi IM Pahang, pelbagai bantuan terus disalurkan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir,” katanya, seperti dilapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Santuni Saudaraku sempena Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran serta Penyampaian IM Pahang Kluster Mualaf Peringkat Pahang di Perkampungan Orang Asli Hulu Pareh, dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 300 mualaf menerima sumbangan RM200 setiap seorang, selain bantuan turut disampaikan kepada 60 Penggerak Masyarakat Orang Asli Pahang.
Wan Rosdy berkata, menerusi IM Pahang Kluster Agama, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan meliputi pelbagai aspek.
“Menerusi IM Pahang Kluster Agama, sebanyak RM10,000 disalurkan kepada setiap masjid, RM4,000 kepada Surau Kebenaran Jumaat, RM750 kepada setiap jemaah haji, RM2,000 kepada maahad tahfiz berdaftar, RM300 kepada pasangan pengantin baharu serta RM200 kepada setiap mualaf atau saudara baharu,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan replika cek IM Pahang Kluster Mualaf berjumlah RM713,800 kepada Jabatan Agama Islam Pahang bagi pelaksanaan program pembangunan dan kebajikan komuniti mualaf di negeri ini.






