SENTIMEN penolakan terhadap DAP dalam kalangan sebahagian masyarakat Melayu bukan berpunca daripada kegagalan polisi, sebaliknya banyak dibentuk oleh persepsi perkauman yang berulang kali dimainkan dalam politik negara.
Penganalisa politik, Norman Radzuan berkata, DAP sering dijadikan kambing hitam dan dilabel sebagai anti-Islam.
Padahal, katanya, masyarakat jarang membuat perbandingan secara adil dengan pendirian serta rekod MCA dalam isu melibatkan agama Islam.
Menurutnya, beliau terus bersama Pakatan Harapan (PH) kerana hujah yang digunakan untuk menyerang DAP kebanyakannya berasaskan persepsi, bukannya penelitian terhadap fakta dan sejarah kedua-dua parti berkenaan.
“Apabila mahu berhujah tentang DAP dan MCA, kita perlu mengkaji kedua-dua parti.
“Siapa yang menolak hudud, siapa yang menolak rang undang-undang berkaitan dan siapa yang pernah mengeluarkan kenyataan menghina Islam?
“Namun, akhirnya DAP juga yang terus dipersalahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Norman turut mempersoalkan kecenderungan pihak tertentu melabel DAP sebagai komunis dan anti-Islam tanpa memahami sejarah serta fakta sebenar.
Beliau memberikan contoh tindakan wakil rakyat DAP yang pernah membangkitkan isu hak pramugari AirAsia untuk memakai tudung.
Justeru, ujarnya, isu berkenaan menunjukkan realiti tidak semestinya sama dengan persepsi yang dibina terhadap parti berkenaan.
Dalam masa sama, beliau berpendapat politik memerlukan kebijaksanaan dan disiplin, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan orang Melayu, agama serta institusi diraja.
“Politik perlu ada seninya. Jangan sewenang-wenangnya mengulas perkara sensitif berkaitan Melayu dan istana,” ujarnya.
Turut disentuh mengenai prestasi menteri-menteri DAP dalam kerajaan yang menurut beliau diakui baik.
Namun, katanya, pencapaian tersebut mudah tenggelam akibat sentimen perkauman dan kebencian yang telah lama ditanam.
Norman berkata, keadaan itu menyebabkan isu lebih besar seperti dasar kerajaan, integriti dan rasuah diketepikan hanya kerana pengundi dipengaruhi sentimen ‘asal bukan DAP’
Beliau turut kesal apabila kenyataan atau tindakan kontroversi pemimpin MCA tidak mencetuskan kemarahan sama seperti yang dikenakan terhadap DAP.
“Walaupun bukti ditunjukkan, adakah masyarakat Melayu akan marah dan menilai semula siapa sebenarnya MCA? Kemungkinan besar tidak.
“Akhirnya, MCA juga yang diundi kerana prinsipnya mudah – asalkan bukan DAP,” kata Norman lagi.
Terdahulu, tular rakaman video sekumpulan pemimpin muda MCA mengkritik kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana melarang aktiviti minuman keras di kawasan rekreasi dan pantai awam.
Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada gelombang kecaman daripada majoriti masyarakat Melayu malah tiada bantahan disuarakan Pas terhadap sikap MCA itu.






