JOHOR BHARU – Barisan Nasional (BN) menang bergaya di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini.
Keputusan itu hasil kiraan undi di semua saluran yang sebahagian besar sudah selesai itu, sekali gus merekodkan pencapaian lebih baik dan cemerlang BN berbanding yang diraih pada PRN Johor Mac 2022.
BN juga menang di sebahagian kerusi DUN dengan majoriti undi lebih besar, selain merampas lapan kerusi DUN yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 11.15 malam, PH terus menguasai dan menang di lapan kerusi DUN dan hanya satu kerusi DUN iaitu Simpang Jeram menyaksikan PH menang, namun dengan undi majoriti tipis 180 undi, berdasarkan kiraan di 73 saluran mengundi yang sudah pun selesai.
Tujuh kerusi DUN lain yang dimenangi PH ialah DUN Penggaram, Mengkibol, Stulang, Bentayan, Skudai, Puteri Wangsa dan Senai.
PN pula tewas di semua kerusi ditandingi termasuk gagal mempertahan kerusi DUN Bukit Kepong, Maharani dan Endau yang dimenangi mereka pada PRN 2022 lalu.
Pencapaian MCA kali ini lebih baik berbanding PRN terdahulu apabila merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi DAP iaitu di DUN Jementah, Tangkak, Johor Jaya dan Stulang.
Ini selain mengekalkan penguasaan di kerusi DUN Yong Peng, Pekan Nanas, Paloh dan Bekok.
Pencapaian MIC kali juga memberangsangkan menang di semua kerusi ditandingi, termasuk membuat kejutan menang tipis dengan hanya lebih 100 undi di DUN yang sebelum ini dimenangi PH iaitu Bukit Batu selain turut menang di DUN Kemelah, Kahang serta Perling, yang dirampas daripada PH.
Menepati ramalan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menang bergaya apabila meraih majoriti undi lebih besar di DUN Machap. Kemenangan sama turut diraih bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di DUN Pasir Raja.
Penampilan sulung Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan di DUN Benut, menyaksikan kemenangan bergayanya dalam saingan dua penjuru di sana.
Kerusi itu sebelum ini dimenangi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dengan majoriti 5,859 undi.
BN menerusi calonnya, Mohd Hairi Mad Shah juga menang bergaya di DUN Larkin, antara kerusi sengit dalam saingan PRN kali ini, menewaskan calon PH yang juga Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiyat.
DUN Endau yang menyaksikan penampilan sekali lagi Alwiyah Talib, namun kali ini atas tiket BN berbanding PN pada dua PRN lalu, turut menang sekali gus kekal wakil rakyat dikawasan itu untuk penggal ketiganya.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Datuk Mohd Rashid Hasnon yang masing-masing mewakili PH dan PN tewas dalam saingan tiga penjuru di DUN Senggarang.
Sandaran PN untuk mempertahan DUN Bukit Kepong yang diwakili bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal juga gagal apabila kerusi itu kini dirampas BN menerusi calonnya, Ahmad Syar’e Yusof.
Pas juga gagal mempertahan kerusi DUN Maharani dimenangi mereka pada PRN Johor 2022.
Sementara itu, parti AMANAH menang sekali gus berjaya mempertahan satu-satunya kerusi mereka di DUN Simpang Jeram, menerusi wakilnya Nazri Abd Rahman.
Mengiringi Amanah, PKR yang turut menang di kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dimenangi Muda, selain gagal mempertahan DUN Bukit Batu yang dimenangi mereka sebelum ini.

