
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM9.62 juta bagi melaksanakan pelbagai projek naik taraf di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak yang bakal memberi manfaat kepada lebih 8,000 penduduk melibatkan 1,824 unit kediaman di kawasan tersebut.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memastikan penyelenggaraan perumahan awam dilaksanakan secara sistematik, berkualiti dan memenuhi keperluan penduduk.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan perumahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa.
“Penyelenggaraan yang konsisten bukan sahaja memanjangkan jangka hayat aset, malah memberi keyakinan kepada penduduk bahawa kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM7.043 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja mengecat bangunan untuk meningkatkan keadaan fizikal dan imej keseluruhan PPR Desa Tun Razak.
Dalam masa sama, aspek keselamatan turut diberi keutamaan apabila RM1.68 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem pencegahan kebakaran dan elektrik termasuk pemasangan Sistem Pepasangan Kebakaran (PKK), Fire Hose Reel.
“Selain itu, pemasangan Sistem Penggera, Sistem CO₂ serta Main Switch Board (MSB) bagi memastikan kemudahan keselamatan berada dalam keadaan berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Katanya lagi, sebanyak RM900,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan am melibatkan pembaikan jalan, penggantian lampu kawasan serta penambahbaikan kemudahan awam lain untuk mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk.
“Setiap projek yang dilaksanakan perlu memberikan hasil yang boleh dilihat dan dirasai oleh penduduk. Fokus DBKL bukan sekadar menyiapkan kerja mengikut jadual tetapi memastikan kualiti pelaksanaannya memenuhi standard yang ditetapkan dan memberi manfaat untuk tempoh yang panjang,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, DBKL akan terus memantau pelaksanaan setiap projek secara rapi bagi memastikan kerja-kerja disiapkan mengikut spesifikasi, jadual yang ditetapkan serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
Tambah beliau, usaha menaik taraf dan menyelenggara perumahan awam akan diteruskan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada komitmen DBKL dalam menyediakan persekitaran kediaman yang lebih berkualiti, selamat dan kondusif untuk seluruh warga kota.


