
TAWAU – Penduduk di sekitar daerah Tawau dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas sekiranya melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang pada altitud rendah serta kehadiran aset-aset pertahanan dan keselamatan di beberapa lokasi bermula Isnin hingga 17 Julai ini.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM, Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan berkata, situasi tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Search and Rescue Exercise Air Region 2 Tahun 2026 (SAREX AR 2-26).
Katanya, program itu akan berlangsung di sekitar kawasan Operasi PASIR Selatan bagi menguji tahap kesiapsiagaan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) di Pantai Timur Sabah.
“Latihan berkenaan bertujuan menguji keupayaan Military Rescue Sub Centre East (Mil-RSC East) di Markas Wilayah Udara 2 dalam menyelaras operasi carilamat secara bersepadu melibatkan pasukan tentera dan pelbagai agensi awam.
“Selain itu, ia adalah untuk meningkatkan serta mengekalkan kompetensi pegawai dan anggota TUDM, selain memperkukuh keupayaan semua personel yang terlibat dalam aspek perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu lagi, sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah, manakala beberapa aset maritim milik agensi penguat kuasa turut digerakkan di kawasan latihan yang telah digazetkan.
“Sehubungan itu, TUDM berharap orang ramai memberikan kerjasama dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pergerakan pesawat serta aset keselamatan yang dilihat sepanjang tempoh latihan tersebut,” jelasnya.
Latihan SAREX AR 2-26 akan berlangsung dari 13 hingga 17 Julai di sekitar kawasan Operasi PASIR Selatan, Tawau sebagai usaha memperkukuh koordinasi antara TUDM dan agensi-agensi berkaitan dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi di Pantai Timur Sabah,” kongsianya.






