
TAWAU – Golongan belia bukan sekadar pewaris kepimpinan masa depan, sebaliknya menjadi pencetus idea, penggerak ekonomi, peneraju inovasi, pemimpin komuniti serta rakan strategik kerajaan dalam mencorakkan pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber asli atau kemajuan fizikal semata-mata sebaliknya ditentukan oleh kualiti rakyat, khususnya generasi muda yang menjadi pemacu utama kemajuan negeri.
“Oleh itu, seluruh belia di Sabah perlu terus melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi (high-skill), menguasai teknologi terkini serta memupuk nilai integriti yang utuh bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam landskap ekonomi masa depan.
“Jangan takut untuk meneroka bidang-bidang baharu seperti keusahawanan digital, ekonomi hijau dan inovasi yang mampu mencipta peluang pekerjaan untuk diri sendiri serta masyarakat setempat,” katanya merasmikan Karnival Hari Belia Sabah sempena Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 di Kompleks Sukan Tawau, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Jelas Hajiji, kerajaan negeri sentiasa meletakkan pembangunan belia sebagai antara keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan Sabah, terutama apabila negeri ini kini memasuki fasa baharu menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Pelan pembangunan itu bukan sekadar meneruskan kejayaan Sabah Maju Jaya 1.0, malah menjadi asas memperkukuh ekonomi negeri, mempercepat pembangunan infrastruktur, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkasakan modal insan ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang progresif, inklusif dan berdaya tahan.
“Kerajaan akan terus memastikan suara dan keperluan golongan belia sentiasa diberi perhatian menerusi pelbagai dasar serta inisiatif yang memperkukuh kepimpinan generasi muda dan menyediakan mereka menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.
Tambah Hajiji, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelaburan dalam pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif membabitkan akses pendidikan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan bakat, pembinaan kepimpinan serta peluang keusahawanan yang lebih inklusif.
“Sehingga kini kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 bagi memastikan lebih ramai pelajar Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani masalah kewangan.
“Kerajaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan TVET, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, automasi, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, industri minyak dan gas, aeroangkasa, maritim, pelancongan, pertanian moden serta ekonomi kreatif yang menawarkan peluang kerjaya luas kepada generasi muda, ” jelasnya.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Mordi Anak Bimol dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui.






