
KOTA KINABALU – Ekonomi Sabah mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.1 peratus pada 2025, sekali gus melonjak jauh berbanding pertumbuhan hanya 1.2 peratus pada 2024.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Khairolnizam Hassan berkata, peningkatan itu didorong oleh pemulihan sektor perlombongan, pengembangan sektor perkhidmatan serta prestasi kukuh sektor pembinaan.
Katanya, prestasi itu menyaksikan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada harga semasa meningkat kepada RM88.8 bilion, berbanding RM84.5 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan sebanyak RM4.3 bilion.
“Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2025 yang diterbitkan DOSM menunjukkan pertumbuhan ekonomi Sabah adalah hampir setara dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang 5.2 peratus, sekali gus mencerminkan momentum pemulihan ekonomi yang semakin kukuh.
“Dari segi struktur ekonomi, sektor Perkhidmatan dan Perlombongan & Pengkuarian kekal menjadi tonggak utama ekonomi Sabah dengan sumbangan gabungan 74.1 peratus kepada keseluruhan KDNK negeri.
“Sektor Perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar apabila berkembang 4.5 peratus, meningkat daripada 4.2 peratus pada 2024,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan aktiviti dalam subsektor berkaitan pelancongan, termasuk perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta perkhidmatan kerajaan.
“Sektor Perlombongan dan Pengkuarian kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.9 peratus selepas merekodkan penguncupan 4.9 peratus pada tahun sebelumnya.
“Pemulihan itu disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, kondensat dan gas asli, dengan sektor berkenaan menyumbang 22 peratus kepada keseluruhan ekonomi negeri.
“Dalam sektor lain, sektor Pertanian kembali pulih dengan pertumbuhan 0.9 peratus selepas menguncup 3.2 peratus pada 2024, didorong peningkatan pengeluaran tanaman khususnya kelapa sawit,” ujarnya.
Tambahnya, sektor Pembuatan pula berkembang 5.0 peratus berbanding 1.2 peratus tahun sebelumnya, dipacu pengeluaran produk minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan selain industri pemprosesan makanan.
“Sektor Pembinaan muncul sebagai sektor paling pesat berkembang apabila merekodkan pertumbuhan 28.3 peratus, mengatasi kadar 21.5 peratus pada 2024. Prestasi itu disokong oleh perkembangan dalam semua subsektor, terutama projek kejuruteraan awam.
“Walaupun ekonomi negeri menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, pendapatan per kapita Sabah masih berada di bawah purata nasional.
“KDNK per kapita Sabah meningkat sebanyak RM550 kepada RM31,125 berbanding RM30,575 pada 2024, namun masih jauh lebih rendah daripada purata nasional yang mencatat RM59,167.
“Secara keseluruhan, Sabah terus menyumbang 5.1 peratus kepada ekonomi Malaysia, mengekalkan bahagian yang sama seperti tahun sebelumnya serta kekal sebagai kuasa ekonomi ketujuh terbesar di negara ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, DOSM memaklumkan pihaknya kini sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026 dengan tema ‘Data Nadi Ekonomi Rakyat’ .
Banci tersebut bertujuan mengumpul data menyeluruh daripada semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi negara secara lebih komprehensif dan berasaskan bukti.
Sementara itu, DOSM turut memaklumkan Malaysia telah mencipta sejarah apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 terbitan Open Data Watch, mengatasi 197 negara, sekali gus melonjak daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian sebelumnya.
Orang ramai juga boleh mengakses pelbagai data rasmi dan visualisasi statistik melalui platform OpenDOSM NextGen, yang menyediakan katalog data bagi memudahkan analisis maklumat ekonomi dan sosial negara.





