
KUCHING – Seramai 26,000 pemilik kenderaan komersial di Sarawak telah mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat ini bagi memastikan kelancaran pengurusan bekalan bahan api tersebut.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, jumlah tersebut bagaimanapun masih rendah berbanding sasaran keseluruhan iaitu 37,880 kenderaan yang layak di seluruh negeri.
Menurutnya, kementerian kini memperluas kelayakan SKDS dengan memasukkan Sektor Pengangkutan Darat bagi kenderaan persendirian syarikat jenis jip dan pikap.
Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 35 jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang layak bernaung di bawah sistem berkenaan.
“Subsidi tambahan ini disasarkan untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil. Permohonan bagi sektor baharu ini dibuka bermula hari ini, manakala kelayakan subsidi akan berkuat kuasa pada 15 Julai tertakluk kepada kelulusan fleet card.

“Walaupun harga runcit diesel di Sarawak dikekalkan pada RM2.15 seliter, pelaksanaan pendaftaran SKDS ini amat penting dan tetap diguna pakai untuk tujuan pemantauan kuota serta pengurusan rantaian bekalan.
“Justeru, kita menyeru semua pemilik kenderaan dan perniagaan milikan tunggal atau perkongsian yang berkelayakan untuk segera membuat permohonan melalui portal rasmi mysubsidi.kpdn.gov.my,” katanya pada sidang media sempena lawatan SKDS di stesen minyak di Kuching pada Jumaat.
Sementara itu, pihak KPDN memberi jaminan bahawa kelangsungan bekalan diesel untuk pengguna generator di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak akan terus terpelihara.
Matthew menjelaskan, walaupun pengguna generator tidak tertakluk di bawah inisiatif sumbangan tunai BUDI MADANI, keperluan bahan api mereka disokong sepenuhnya menerusi Projek Penyeragaman Harga.
Projek tersebut merupakan jaminan berterusan kerajaan bagi memastikan kelancaran pengedaran tujuh barang kawalan utama termasuk diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan gula ke kawasan terpencil pada harga yang seragam.
“Kita telah melantik syarikat pengangkut (transporter) secara rasmi untuk menghantar bekalan terus ke kawasan luar bandar. Penduduk boleh membeli bahan api ini melalui pusat jualan (point of sale) yang telah dilantik secara sah.
“Setakat ini, pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan mengenai ketiadaan bekalan diesel di kawasan pedalaman. Jika terdapat sebarang insiden terputus bekalan, penduduk digesa menyalurkan maklumat segera agar tindakan terus dapat diambil,” tegasnya.
Bagi memastikan polisi penyasaran subsidi ini difahami jelas oleh masyarakat akar umbi, KPDN Sarawak telah melaksanakan program penerangan agresif dengan turun padang ke lima zon utama iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.
Inisiatif menyeluruh itu bukan sahaja tertumpu kepada persatuan pengangkutan, malah pihak kementerian turut libat urus pemimpin komuniti setempat termasuk wakil Temenggung, Penghulu serta agensi kerajaan berkaitan bagi melancarkan proses penyampaian maklumat ke kawasan terpencil.



