LKIM salur bantuan RM180,000 kepada 19 nelayan Kelantan

TUMPAT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan bantuan peralatan penangkapan ikan bernilai RM180,000 kepada 19 nelayan di Kelantan menerusi Program Rahmah Mesra MADANI LKIM yang disempurnakan Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil, di Pusat Pemeriksaan Ikan LKIM Pengkalan Kubor, kelmarin.

Bantuan itu disalurkan di bawah Insentif Peralatan Penangkapan Ikan Nelayan (Touch Point) B40 yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2026 bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti nelayan sekali gus menjamin bekalan ikan negara.

Peralatan yang diserahkan merangkumi sebuah sampan, lapan enjin 40 kuasa kuda, dua unit net hauler (robot penarik pukat), pukat, tong ikan berinsulasi serta peranti echo sounder bagi membantu nelayan mengesan lokasi ikan.

Program itu turut disertai 3,718 ahli berdaftar di bawah Persatuan Nelayan Negeri Kelantan (Peneka) yang melibatkan empat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Semerak.

Turut diadakan ialah Jualan Agro MADANI (JAM) bertemakan ‘Jualan Ikan Murah Untuk Rakyat – Dari Nelayan Terus Ke Dapur’ yang menawarkan pelbagai hasil laut dengan diskaun sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Sebanyak setengah tan metrik hasil laut termasuk sotong, udang, ikan merah, kembung, selar, tamban, tenggiri dan aya dijual bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Dalam ucapannya, Faiz mengingatkan nelayan serta persatuan nelayan supaya mematuhi tatacara pengurusan subsidi minyak bagi mengelakkan keciciran dan penyelewengan.

Beliau berkata, persatuan nelayan juga perlu menguasai keseluruhan rantaian industri perikanan termasuk pemasaran, akuakultur dan industri hiliran bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi komuniti nelayan.

Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi Halatuju Reformasi LKIM 4P iaitu pulih, progres, perkasa dan pintar serta agenda 1 Persatuan 1 Produk (1P1P) yang bertujuan meningkatkan pendapatan persatuan dan ahlinya.

Menurut Faiz, Peneka kini terlibat dalam beberapa projek ekonomi termasuk ternakan udang dalam tangki, ternakan ikan sangkar, pemasaran ikan, penjualan air batu di Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali serta agropelancongan menerusi Hotel Peneka Inn.

Beliau berkata, daripada keseluruhan ahli, seramai 2,513 merupakan nelayan tulen, manakala 1,419 menerima Elaun Sara Hidup Nelayan dan 965 vesel menikmati subsidi petrol serta diesel.

Faiz berkata, pendaratan ikan di Kelantan yang diisytiharkan pada 2025 berjumlah 14,117 tan metrik, iaitu kedudukan ke-11 tertinggi di negara ini.

Menurutnya, usaha bersepadu perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan pengeluaran hasil laut demi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara serta menambah pendapatan nelayan.

Bagi aspek kebajikan, Faiz berkata, seramai 14 nelayan menerima bantuan bina baharu rumah dan 105 lagi menerima bantuan baik pulih rumah menerusi Program Khas Perumahan Nelayan sepanjang tempoh 2016 hingga 2025.

Katanya, bagi tahun ini, dua rumah bina baharu dan 11 rumah baik pulih diluluskan dengan peruntukan RM388,000 di bawah Belanjawan 2026.

Selain itu, seramai 19 nelayan turut menerima bantuan berjumlah RM17,250 menerusi Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan bagi meringankan beban akibat kemalangan di laut atau kematian ahli keluarga.

Faiz berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kebajikan komuniti nelayan tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan kesejahteraan golongan itu terus terpelihara.

Related Posts

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara

SHAH ALAM – Ekonomi Selangor terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila berkembang kepada RM460.1 bilion pada 2025, sekali gus menyumbang 26.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Menteri Besar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
AMK Sabah seru Kerajaan Persekutuan kaji semula pelaksanaan subsidi diesel

KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyeru Kerajaan Persekutuan mengkaji semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel di negeri ini bagi memastikan dasar itu mengambil kira keunikan geografi, struktur ekonomi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara