
DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar mengutamakan kempen beretika, berakhlak dan tidak bersikap angkuh sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, persaingan membabitkan tiga atau lebih calon dalam sesuatu kerusi adalah perkara lazim dalam demokrasi, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berkempen secara melampau atau mencetuskan perpecahan.
“Tiga ke enam (penjuru) ini lumrah dalam amalan demokrasi, cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak dan jangan lupa daratan.
“Bagi kita, kita dalam Pakatan Harapan (PH) cuba dekatkan (dengan rakyat) kerana prestasi ditunjukkan. Jangan tunjuk sombong, jangan kata ‘tolak orang itu, tolak’… tidak, kerjasamalah (sebaik mungkin),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, di sini, hari ini.
Anwar berkata, semua pihak perlu mengambil pendekatan yang lebih sederhana serta memberi tumpuan kepada usaha mendekati dan menyantuni rakyat berbanding mencetuskan ketegangan politik.
“Malaysia ini sudah begini rupa. Ambillah sikap yang sederhana sikit. Cuba layani, santuni sebanyak mungkin masyarakat kita,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi memberi laluan kepada PRN.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada esok, diikuti pengundian awal pada 7 Julai dan pengundian pada 11 Julai depan.



