
KUANTAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan melombong mineral bauksit dipercayai diusahakan secara haram hasil serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Bukit Goh dekat sini, pagi semalam.
Hasil serbuan dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA kira-kira jam 11.30 pagi itu, berjaya menahan sembilan lelaki termasuk lima warga asing tanpa dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan lanjut bersama pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mendapati aktiviti melombong mineral bauksit itu dijalankan tanpa lesen sah.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM3.7 juta dan kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang kelulusan atau dokumen berkaitan aktiviti yang sedang dilakukan.
“Susulan itu, pelbagai barangan dirampas untuk siasatan antaranya tiga lori tanah, dua jengkaut, 10,000 tan longgokan tanah disyaki mengandungi mineral bauksit dan beberapa dokumen,” katanya, lapor Sinar Harian.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati tapak lokasi berkenaan dimiliki seorang peneroka dan dipajak kepada sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembersihan untuk penanaman semula kelapa sawit sejak Mac lalu.
Menurutnya, semua tanah yang dikorek akan dihantar ke kilang di Gebeng untuk diproses sebelum dihantar kepada pembeli.
“Hasil semakan mendapati aktiviti mengorek tanah tersebut tidak mempunyai sebarang lesen dan kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Jelasnya, semua warga asing terdiri daripada empat warga Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh yang ditahan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan manakala lain-lain tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak UPNP.
“Pihak UPNP telah membuat sitaan dan pemberhentian serta merta ke atas lokasi dan kesemua jentera tersebut sehingga siasatan lengkap selesai dijalankan,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 39(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



