
TURKIYE, Mesir, Pakistan dan Arab Saudi menyambut baik memorandum persefahaman (MoU) terbaharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang bertujuan meredakan ketegangan serantau, selain mengulangi sokongan padu mereka terhadap penubuhan negara Palestin yang berdaulat.
Pendirian bersama itu dizahirkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Turkiye susulan Mesyuarat Rundingan Keempat kumpulan empat negara berkenaan yang dikenali sebagai blok R4 atas jemputan Mesir di ibu negara berkenaan pada Ahad.
Menerusi kenyataan terbabit, menteri-menteri luar membincangkan perkembangan serantau serta antarabangsa, selain menegaskan peri pentingnya rundingan dan penyelarasan berterusan demi mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan, dan kemakmuran di seluruh Asia Barat.
Mereka menyambut baik pemeteraian MoU Islamabad antara AS dan Iran pada 18 Jun lalu dan menyifatkannya sebagai satu langkah konstruktif ke arah mengurangkan konflik ketenteraan.
“Konflik sebelum ini telah mencetuskan risiko yang amat besar kepada keselamatan dan kestabilan serantau, termasuk memberi kesan buruk kepada pasaran tenaga, laluan maritim antarabangsa, rantaian bekalan global, serta perdagangan antarabangsa,” menurut kenyataan itu, lapor Anadolu.
Keempat-empat menteri terbabit turut memuji usaha peringkat serantau dan antarabangsa yang mempermudahkan proses pemeteraian memorandum berkenaan, selain menekankan kepentingan untuk kedua-dua belah pihak memenuhi komitmen masing-masing sepenuhnya.
Penyelesaian yang mampan dan boleh disahkan
Blok R4 turut menzahirkan penghargaan yang tinggi terhadap peranan proaktif Pakistan dalam memacu “kejayaan bersejarah” itu, di samping menghargai sokongan padu Qatar yang membantu memastikan rundingan berkenaan berakhir dengan jayanya.
Mengambil momentum daripada MoU terbabit, para menteri menekankan keperluan untuk menyegerakan fasa rundingan seterusnya bagi mencapai “penyelesaian yang mampan, boleh disahkan, dan dipersetujui bersama” berhubung baki isu berbangkit.
Tegas mereka, proses rundingan itu harus mengambil kira kebimbangan keselamatan negara-negara di rantau berkenaan, khususnya membabitkan kestabilan negara Teluk Arab dan wilayah Levant, demi memperkukuh keselamatan kolektif jangka panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, blok R4 menegaskan bahawa perjuangan Palestin kekal menjadi teras utama untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat. Perbincangan terperinci turut memberi tumpuan kepada situasi kemanusiaan dan politik semasa di Semenanjung Gaza, Tebing Barat yang diduduki, serta timur Baitulmaqdis.
Sambil mengulangi sokongan padu terhadap hak sah rakyat Palestin, mereka menegaskan hak mutlak komuniti berkenaan untuk menentukan nasib sendiri serta menuntut penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.






