Pelaburan baharu Petronas di Tukmenistan pemangkin pertumbuhan ekonomi, modal insan

PUTRAJAYA – Perjanjian terbaharu antara
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Turkmenistan disifatkan bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara itu, malah memberi manfaat langsung kepada pembangunan modal insan negara.

Pensyarah kanan Sumber Manusia dan Hubungan Industri, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Balakrishnan Parasuraman berkata, pelaburan dan operasi Petronas di Turkmenistan berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya kepada tenaga kerja tempatan.

Menurut beliau, golongan muda yang baru menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan serta industri minyak dan gas paling banyak menerima tempias positif menerusi langkah yang telah diambil oleh Petronas.

“Ini merupakan langkah positif kerana hubungan baik yang telah dibina selama 30 tahun antara Malaysia dan Turkmenistan dapat diperkukuhkan lagi melalui kerjasama ekonomi yang lebih luas.

“Pada masa sama, ia membuka ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia khususnya graduan dalam bidang kejuruteraan, minyak dan gas serta sektor berkaitan,” katanya menerusi kenyataan The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Mengulas lanjut, Balakrishnan berpandangan, usaha kerajaan meneroka peluang pelaburan baharu di luar negara sebagai langkah tepat ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik dan ketegangan di Asia Barat.

Beliau memaklumkan, pengukuhan aktiviti ekonomi dan pelaburan luar negara oleh syarikat berkaitan kerajaan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus memperkukuhkan ekonomi negara selain meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai antara pemain utama industri petroleum dan gas asli di rantau Asia Pasifik.

“Walaupun industri minyak dan gas berdepan cabaran global, usaha yang dilakukan kerajaan dan Petronas ini menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan ekonomi negara serta mencari sumber pertumbuhan baharu.

“Terima kasih kepada kerajaan dan Petronas atas komitmen memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa yang disifatkan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negara serta membuka ruang kerjasama dalam sektor-sektor lain pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis tenaga dan geopolitik Global Asia Consulting, Syed Farhan Syed Feizal berpendapat, kejayaan di Turkmenistan adalah hasil hubungan diplomatik dan komersial dibina selama bertahun lamanya dan Petronas telah berjaya mempamerkan keupayaannya selepas hampir tiga dekad beroperasi di negara itu.

Beliau memaklumkan, perjanjian terbabit memberi Petronas kedudukan di salah satu kawasan pengeluar gas paling penting di dunia, selain tepat pada masanya selepas pengeluaran minyak domestik Malaysia terus menurun.

“Tawaran Malaysia juga bukan sekadar pelaburan. Pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan kerjasama pendidikan, termasuk melalui Universiti Teknologi Petronas dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia, membantu mengukuhkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai rakan jangka panjang.

“Turkmenistan memiliki rizab gas asli keempat terbesar di dunia. Peranan lebih besar di sana meletakkan Petronas dalam kedudukan strategik apabila permintaan global terhadap gas terus meningkat.

“Pengeluaran minyak Malaysia sekitar 350,000 tong sehari, berbanding lebih 700,000 tong sehari pada kemuncaknya. Namun, kapasiti penapisan domestik masih memerlukan kira-kira 700,000 tong sehari. Oleh itu, pertumbuhan jangka panjang memerlukan sumber dan peluang baharu di luar negara,” katanya.

Terdahulu, Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB) telah memeterai beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.

Antara perjanjian itu adalah kerjasama dengan State Concern Turkmennebit (Turkmennebit) dan State Enterprise Hazarnebit (Hazarnebit) bagi memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluannya di negara itu.

Pemeteraian tersebut terjalin berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkmenistan selama dua hari bermula 18 dan 19 Jun atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov, yang juga sebagai membalas lawatan rasmi pemimpin negara itu ke Malaysia pada Disember 2024.

Petronas memulakan operasi di Turkmenistan pada 1996 dan kemudian berkembang menjadi kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara.

Related Posts

Harga diesel seluruh negara turun kepada RM2.10 seliter guna MyKad

BINTULU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit diesel bersubsidi diselaraskan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai ini menerusi mekanisme berasaskan MyKad.   Beliau yang juga…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kejayaan Petronas-Turkmenistan bukti diplomasi ekonomi MADANI membuahkan hasil, berjaya tembusi hab tenaga baharu

PUTRAJAYA – Kejayaan syarikat minyak negara, Petronas memperoleh telaga gas antara yang terbesar dunia di Turkmenistan adalah pencapaian penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harga diesel seluruh negara turun kepada RM2.10 seliter guna MyKad

Harga diesel seluruh negara turun kepada RM2.10 seliter guna MyKad

RTP DUN Kalaka sedia peruntukan RM50,000 naik taraf Surau Darul Muafiqin

RTP DUN Kalaka sedia peruntukan RM50,000 naik taraf Surau Darul Muafiqin

Maszlee, Suhaizan taruhan utama PH di PRN Johor

Maszlee, Suhaizan taruhan utama PH di PRN Johor

Program RISE x Tamu 2026 tumpu Sektor Ketiga RMK13

Program RISE x Tamu 2026 tumpu Sektor Ketiga RMK13

Pekeliling baharu JPA perkasa ketelusan, integriti penjawat awam

Pekeliling baharu JPA perkasa ketelusan, integriti penjawat awam

32,461 ahli NADI Sabak Bernam jadi duta komuniti, sebar kesedaran keselamatan digital

32,461 ahli NADI Sabak Bernam jadi duta komuniti, sebar kesedaran keselamatan digital