PUTRAJAYA – Kejayaan syarikat minyak negara, Petronas memperoleh telaga gas antara yang terbesar dunia di Turkmenistan adalah pencapaian penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor tenaga dan keselamatan ekonomi.
Penganalisis keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, kerjasama berkenaan membuktikan keupayaan kerajaan membuka ruang kerjasama baharu dengan negara yang memiliki sumber gas asli besar, sekali gus meningkatkan pengaruh dan kredibiliti Malaysia sebagai rakan strategik dipercayai di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, langkah itu membuktikan bahawa dasar luar Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hanya tertumpu kepada hubungan tradisional dalam ASEAN atau Asia Timur, tetapi berjaya memperluaskan jaringan strategik ke Asia Tengah yang semakin penting dalam geopolitik tenaga global.
“Pendekatan kerajaan menekankan kerjasama ekonomi, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan memperlihatkan amalan diplomasi matang serta seimbang.
Malaysia tidak hadir sebagai kuasa yang ingin mendominasi, sebaliknya sebagai rakan pembangunan menawarkan kepakaran, pengalaman serta manfaat bersama,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Menurut Nur Ashikin, pendekatan tersebut selari dengan imej Malaysia sebagai negara sederhana yang mengutamakan kerjasama, keamanan dan pembangunan mampan dalam hubungan antarabangsa selain kerjasama sedemikian telah memberi nilai tambah signifikan kepada aspek keselamatan tenaga negara.
Pada Sabtu, Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB) telah memeterai beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.
Antara perjanjian itu adalah kerjasama dengan State Concern Turkmennebit (Turkmennebit) dan State Enterprise Hazarnebit (Hazarnebit) bagi memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluannya di negara itu.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan, hubungan lebih erat dengan Turkmenistan membolehkan Malaysia memperkukuhkan jaringan diplomatiknya di rantau Asia Tengah yang mempunyai kepentingan strategik kepada kuasa-kuasa besar seperti China, Rusia mahupun Iran.
“Dalam keadaan dunia yang berdepan ketidaktentuan geopolitik, konflik serantau serta turun naik harga tenaga global, usaha kerajaan menyokong pengembangan operasi PETRONAS di luar negara merupakan langkah yang proaktif dan berpandangan jauh.
“Kebergantungan kepada sumber tenaga domestik semata-mata boleh meningkatkan risiko terhadap kestabilan ekonomi negara pada masa hadapan.
“Justeru, akses kepada sumber hidrokarbon di Turkmenistan membantu mempelbagaikan sumber tenaga strategik Malaysia serta mengurangkan risiko gangguan bekalan yang berpunca daripada konflik atau ketegangan di rantau lain,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpendapat, kerjasama terbabiit turut menyumbang kepada pengukuhan keselamatan ekonomi negara. Petronas merupakan aset strategik negara yang memainkan peranan penting dalam menjana hasil kerajaan melalui pembayaran cukai, dividen dan pelaburan.
Menurut beliau, apabila syarikat nasional itu berjaya mengembangkan operasi di pasaran antarabangsa, manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh syarikat tersebut tetapi juga memberi kesan positif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
“Pendapatan yang lebih kukuh daripada projek luar negara berpotensi meningkatkan keupayaan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan, kebajikan rakyat dan pelaburan strategik pada masa hadapan. Secara keseluruhan, kerjasama itu membuktikan bahawa kerajaan hari ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada isu domestik.
“Malah, aktif memperkukuhkan kedudukan strategik negara di peringkat global. Kejayaan ini menunjukkan keberkesanan pendekatan diplomasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membuka peluang baharu kepada syarikat tempatan.
“Pada masa sama, ia dapat menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuhkan keselamatan ekonomi serta meningkatkan pengaruh Malaysia dalam landskap geopolitik antarabangsa semakin kompleks. Ia merupakan satu perkembangan positif yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada negara dan rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Turkmenistan pada tahun lalu merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah yang merekodkan nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta,
Pada masa sama, ia turut mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus peratus daripada angka pada tahun sebelumnya selain Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama Petronas, dengan jumlah pelaburan syarikat nasional terbabit di negara itu telah mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 sehingga kini.





