
BERA – Seramai 22,678 pelajar di Pahang bakal menerima manfaat menerusi Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)Tahun 2026 yang dilancarkan hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Purun, di sini.
Jumlah tersebut melibatkan 19,893 calon SPM, 2,245 calon STPM dan 540 calon STAM.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu diteruskan selepas kejayaan Pahang muncul sebagai negeri terbaik dalam pencapaian SPM 2025, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan bidang pendidikan.
“Dan proses ini tidak habis begitu sahaja. Kita fikir lagi bagaimana untuk meningkatkan lagi kerana kita tahu semakin hari pelajaran semakin komplikated, memerlukan fokus dan pelbagai.
“Jadi kita tambah lagi (buku rujukan) iaitu matematik tambahan dan sains menjadikan empat (subjek) sebelum ini kepada enam,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran inisiatif berkenaan di SMK FELDA Purun, petang semalam.
Turut hadir pada majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Ahmad Zamri Md Isa.
Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan negeri bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan JPNP bagi memperluaskan bantuan tersebut kepada pelajar Tingkatan Empat bermula tahun hadapan.
“Dan saya juga mendapat permohonan daripada pengarah pendidikan bahawa untuk pelajar-pelajar Tingkatan Empat juga harus disantuni, diberi perhatian.
“Jadi kerajaan negeri tidak beragak-agak untuk meluluskan sejumlah peruntukan. Saya minta pengarah pendidikan untuk memberi detail kepada kerajaan negeri untuk kita pertimbangkan,” ujarnya.






