
MUKAH – Polis kini mempergiat usaha mengesan dua remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua remaja terbabit yang juga rakan sekolah, kali terakhir dilihat di Mukah sekitar jam 1.30 tengah hari pada Ahad sebelum dilaporkan hilang.
Menurut beliau, remaja pertama yang dikenali sebagai Easter Agnes David, berasal dari Rumah Jali, kali terakhir dilihat memakai baju lengan pendek berwarna jingga, seluar panjang putih dan berselipar hitam.
“Sementara itu, remaja kedua, Frocilea Rajok Jessica dari Rumah Nelson Chuat Begeri pula dilaporkan memakai baju lengan pendek berwarna hijau putih, seluar panjang hitam serta berselipar putih.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar itu dipercayai tidak mahu mendaftar masuk ke asrama sekolah, lalu bertindak mengikut rakan lain ke lokasi yang tidak pasti,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhamad Rizal berkata, usaha pencarian telah dijalankan di beberapa kawasan sekitar Mukah, namun setakat ini polis belum menemui sebarang petunjuk memandangkan telefon bimbit mereka gagal dihubungi.
Sehubungan dengan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kedua-dua remaja berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
Orang awam boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Alexander Constontine di talian 013-5073256 atau mana-mana balai polis berhampiran.






