PM Anwar tegaskan pembangunan AI perlu berteraskan nilai kemanusiaan

TOKYO – Pembangunan kecerdasan buatan (AI) perlu berteraskan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab moral bagi memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menghakis prinsip kemanusiaan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia tidak boleh melihat kemajuan teknologi semata-mata dari sudut kecekapan dan keuntungan ekonomi, sebaliknya perlu memastikan pembangunan AI menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih adil, beretika dan sejahtera.

Menurut beliau, perkembangan pesat AI ketika ini berlaku dalam keadaan dunia masih bergelut dengan pelbagai cabaran seperti konflik, peperangan, ketidaksamaan sosial dan penindasan yang berterusan.

“Kita menyokong kemajuan teknologi termasuk AI. Namun jika ia memasuki rumah, sekolah, hospital, pejabat, institusi awam malah imaginasi kita, maka cabaran yang dihadapi adalah amat besar.

“Kita mesti membina sistem yang berkhidmat untuk manusia bagi memperkayakan nilai kemanusiaan, bukannya merendahkannya.

“Ia bagi memastikan institusi kekal bertanggungjawab kepada rakyat serta masyarakat terus mengingati perkara yang tidak boleh diwarisi oleh mesin iaitu hati nurani, ihsan, rahmah, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin sempena lawatan ke Universiti Tokyo di sini, hari ini.

Anwar berkata, kemajuan teknologi tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan persoalan kemanusiaan yang masih menjadi cabaran utama di seluruh dunia.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan sesetengah pihak yang terlalu menyanjung kemajuan teknologi sehingga menutup mata terhadap realiti ketidaksamaan sosial yang semakin ketara.

Katanya, jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan berkuasa dengan kelompok miskin serta lemah menunjukkan bahawa masih banyak isu asas yang memerlukan perhatian dan penyelesaian.

“Ini sebenarnya bukan alasan yang boleh diterima kerana kita tidak bersedia berdepan hakikat yang tidak selesa. Apakah hakikat itu?

“Ia adalah kecenderungan untuk mewajarkan obsesi baharu ini sambil menutup mata terhadap ketidaksamaan sosial yang ketara di bandar-bandar kita, dalam masyarakat kita, negara kita, rantau kita dan juga di seluruh dunia, selain jurang yang semakin melebar antara golongan yang sangat kaya dan berkuasa dengan mereka yang tertindas serta lemah.

“Mengapakah kita terus menganggap sebagai sesuatu yang normal berlakunya eksploitasi sesama manusia, sama ada lelaki terhadap lelaki, lelaki terhadap wanita atau wanita terhadap lelaki, hanya kerana kelebihan teknologi yang dimiliki oleh satu pihak berbanding pihak lain,” tegasnya.

Beliau berkata, AI berupaya membantu manusia dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan dan pentadbiran, namun penggunaannya perlu dipandu oleh nilai kemanusiaan agar teknologi itu tidak menjadi alat yang menjarakkan manusia daripada prinsip keadilan dan ihsan.

Syarahan khas itu dihadiri lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar dan ahli akademik Universiti Tokyo.

Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Presiden Universiti Tokyo, Profesor Dr Teruo Fujii.Anwar tiba di Tokyo semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Jepun atas jemputan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.

Beliau yang diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, turut dijadual mengadakan sesi meja bulat bersama tokoh korporat dan ketua industri Jepun serta bertemu beberapa syarikat utama negara itu dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.

Esok, beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertemakan Navigating Strategic Uncertainty yang akan menyentuh peranan Malaysia dalam mendepani cabaran geopolitik global serta meneroka peluang baharu bagi memacu kemakmuran serantau.

Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Takaichi bagi membincangkan hubungan Malaysia-Jepun serta pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Surat Hasrat (LoI) yang merangkumi bidang pertahanan dan keselamatan serantau, kesihatan, peralihan tenaga, alam sekitar serta pendidikan tinggi.

Related Posts

Bersatu lemah tanpa Pas, pembangkang makin jauh tawan hati rakyat pada PRU16

PUTRAJAYA – Bersatu dijangka berdepan kesukaran untuk terus bertahan dalam persaingan politik negara selepas Pas memutuskan untuk bercerai dengan parti terbabit. Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM),…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Politik penyatuan ummah: Prinsip atau sekadar strategi pilihan raya?

PERKEMBANGAN politik mutakhir yang menyaksikan Pas mengambil pendirian memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai hala tuju sebenar gabungan yang selama ini dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN). Menurut…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

GPN Sabah perkukuh perlindungan pengguna, kos sara hidup

GPN Sabah perkukuh perlindungan pengguna, kos sara hidup

Selangor-Singapura teroka peluang pelaburan dan rangkaian baharu

Selangor-Singapura teroka peluang pelaburan dan rangkaian baharu

Bersatu lemah tanpa Pas, pembangkang makin jauh tawan hati rakyat pada PRU16

Bersatu lemah tanpa Pas, pembangkang makin jauh tawan hati rakyat pada PRU16

Politik penyatuan ummah: Prinsip atau sekadar strategi pilihan raya?

Politik penyatuan ummah: Prinsip atau sekadar strategi pilihan raya?

Mahasiswa Malaysia di Jepun perlu timba pengalaman, hayati nilai masyarakat setempat – PM

Mahasiswa Malaysia di Jepun perlu timba pengalaman, hayati nilai masyarakat setempat – PM

RM7.5 juta projek tembok keselamatan, jalan dan pos kawalan Pulau Sebatik

RM7.5 juta projek tembok keselamatan, jalan dan pos kawalan Pulau Sebatik