PILIHANRAYA Raya Negeri (PRN) Johor merupakan platform penting untuk menentukan hala tuju masa depan negeri itu serta kesejahteraan rakyat dan bukan sekadar hanya menjadi medan persaingan politik
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesej itu jelas dizahirkan menerusi pelancaran jentera parti bagi PRN Johor di Batu Pahat malam tadi yang disaksikan lebih 5,000 jentera parti dan penduduk tempatan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menegaskan bahawa pilihan raya tersebut bukan kehendak beliau, sebaliknya tumpuan utama mestilah kekal terarah kepada usaha dan gerak kerja untuk rakyat.
“Dalam semangat yang sama, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut menekankan bahawa pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan secara serentak adalah penting demi memastikan kesinambungan serta kestabilan politik tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu pula mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan keselarasan antara pentadbiran kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Johor mempunyai potensi yang sangat besar. Pembangunan yang dirancang mesti benar-benar membawa manfaat kepada rakyat terbanyak,” kata Fahmi.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas bagi memberi laluan kepada PRN.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 12 Jun ini untuk membincangkan tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon serta hari pengundian.






