Jaslinda ditemukan selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih

IPOH – Misteri kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 23 Mei lalu, akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu.

Mangsa dilaporkan ditemukan oleh penduduk di kawasan Perkampungan Orang Asli Lubok Gaharu, Tapah selepas lebih dua minggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pelbagai agensi serta dibantu masyarakat Orang Asli.

Perkembangan gembira itu dimaklumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi satu hantaran ringkas di Facebook.

Menurutnya, Jaslinda telah ditemukan selamat dan beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR yang berlangsung sejak hari pertama kehilangan mangsa dilaporkan.

“Saya baharu dimaklumkan bahawa Puan Jaslinda yang dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemui selamat.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR termasuk penduduk Orang Asli yang turut membantu.

“Terima kasih atas doa seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Saarani turut memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan Jaslinda berada dalam keadaan baik sambil menikmati mi segera di sebuah pondok milik penduduk Orang Asli.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad mengesahkan penemuan mangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media rasmi berhubung insiden berkenaan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Jaslinda yang mempunyai pengalaman mendaki lebih 10 tahun dilaporkan menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Kumpulan itu memulakan pendakian pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.

Dalam kejadian tersebut, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa menghentikan pendakian.

Namun, Jaslinda dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.

Kehilangannya mencetuskan operasi SAR berskala besar yang melibatkan pelbagai agensi penyelamat, pasukan keselamatan serta penduduk Orang Asli yang bertungkus-lumus menjejaki mangsa di kawasan hutan berbukit dan mencabar itu.

Selepas 15 hari pencarian, usaha berterusan pasukan SAR akhirnya membuahkan hasil apabila eksekutif rantaian bekalan itu ditemukan dalam keadaan selamat, sekali gus melegakan keluarga serta rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes berkenaan dan tidak putus-putus mendoakan keselamatannya.

Related Posts

RCI TH tepat pada masanya, bukan ‘gula-gula politik’ PRN Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Dakwaan langkah kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan meraih sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tidak dipersetujui…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar rakam tahniah buat Aliff Rakib

Anwar rakam tahniah buat Aliff Rakib

RCI TH tepat pada masanya, bukan ‘gula-gula politik’ PRN Negeri Sembilan

RCI TH tepat pada masanya, bukan ‘gula-gula politik’ PRN Negeri Sembilan

BN pertaruh manifesto berteraskan sembilan fokus utama

BN pertaruh manifesto berteraskan sembilan fokus utama

Kerjasama BN-PN ibarat Titanic, tunggu masa karam – Hannah Yeoh

Kerjasama BN-PN ibarat Titanic, tunggu masa karam – Hannah Yeoh

45 asnaf sekitar Mukah terima sumbangan Saberkas Prihatin

45 asnaf sekitar Mukah terima sumbangan Saberkas Prihatin

Tender semula BELB RM30 juta, jamin bekalan elektrik stabil – Andi Suryady

Tender semula BELB RM30 juta, jamin bekalan elektrik stabil – Andi Suryady