
ARSENAL akhirnya menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pencabar utama, Manchester City seri 1-1 menentang AFC Bournemouth, awal pagi tadi.
Keputusan itu mengesahkan Arsenal sebagai juara EPL buat kali pertama sejak era “Invincibles” kendalian Arsène Wenger pada musim 2003/2004.
Kejayaan bersejarah itu melengkapkan transformasi luar biasa dibawa pengendali dari Sepanyol, Mikel Arteta yang berjaya mengubah Arsenal daripada pasukan pencabar kepada juara sejak mengambil alih pasukan pada Disember 2019 menggantikan Unai Emery.
Sebelum ini, Arsenal terpaksa berpuas hati muncul naib juara dalam tiga musim berturut-turut, malah mereka hampir dikejar City selepas tewas di Stadium Etihad pada April lalu sehingga kelebihan sembilan mata semakin mengecil.
Bagaimanapun, skuad The Gunners kekal tenang dalam lima aksi terakhir musim ini apabila memenangi empat perlawanan berturut-turut tanpa dibolosi, termasuk kemenangan 1-0 ke atas Burnley FC.
Pada masa sama, City gagal mengekalkan konsistensi apabila tercicir mata ketika seri menentang Everton FC sebelum keputusan terbaru di Bournemouth menutup terus peluang mereka mempertahankan kejuaraan.







