
PEGAWAI Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, Dr Radin Muhd Imaduddin menjelaskan pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi berhubung laluan kemasukan pelajar di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA bukan bermaksud kerajaan memberi pengiktirafan automatik atau laluan khas tanpa syarat kepada lepasan aliran berkenaan.
Dalam temubual bersama The Malaysia Press, beliau menegaskan bahawa kenyataan KPT itu sebenarnya sangat jelas, terhad dan masih tertakluk kepada prinsip meritokrasi serta autonomi universiti.
Menurut beliau, ramai tersalah tafsir apabila menganggap kerajaan telah membuka pintu secara automatik kepada semua lepasan UEC, tahfiz dan sekolah swasta untuk memasuki IPTA.
“Yang diumumkan KPT ialah mereka boleh memohon, bukannya automatik diterima. Itu perbezaan besar yang perlu difahami,” katanya.
Beliau menjelaskan semua calon tetap perlu memenuhi syarat am kemasukan, syarat khas program dan syarat tambahan yang ditetapkan universiti masing-masing.
“Universiti masih menentukan standard akademik mereka sendiri. Tidak wujud laluan pintu belakang atau pengecualian khas daripada persaingan akademik biasa,” jelasnya.
Tambah beliau, proses pemilihan masih dilaksanakan melalui sistem UPU dan berasaskan merit sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Dr Radin berkata program yang dibuka kepada lepasan aliran tertentu juga sangat spesifik dan tidak bersifat terbuka kepada semua bidang pengajian.
Bagi lepasan tahfiz misalnya, peluang diberikan khusus dalam bidang seperti dakwah, Al-Quran dan As-Sunnah, pendidikan tahfiz serta pengajian Islam.
Sementara bagi lepasan UEC pula, bidang yang dikenal pasti termasuk bahasa Cina, linguistik Cina, pengajian Cina dan pendidikan bahasa Cina.
“Ini bukan akses terbuka kepada bidang seperti perubatan, kejuruteraan atau undang-undang. Laluan ini diwujudkan berdasarkan keperluan khusus bidang,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan akhir kemasukan tetap berada di bawah kuasa Senat Universiti yang mempunyai autonomi penuh menentukan kesetaraan kelayakan, kapasiti program dan syarat akademik.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mencampuradukkan beberapa isu berbeza berkaitan sistem pendidikan negara.
Katanya, terdapat perbezaan jelas antara kewajipan mempelajari Bahasa Melayu dan Sejarah, syarat mendaftar SPM, syarat lulus SPM serta syarat kemasukan ke IPTA.
“Semua ini berada dalam domain dasar yang berbeza. Kena faham asas itu dahulu sebelum membuat kesimpulan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Bahasa Melayu dan Sejarah kekal sebagai asas penting dalam pembinaan identiti nasional dan kenegaraan.
“Semua warganegara wajib mempelajari Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut standard kurikulum kebangsaan. Ini bukan sekadar soal peperiksaan, tetapi soal identiti negara,” ujarnya.
Menyentuh isu UEC, Dr Radin menjelaskan bahawa majoriti besar pelajar SMPC sebenarnya tetap mengambil SPM sebagai kelayakan nasional utama sebelum meneruskan UEC sebagai nilai tambah.
Menurut beliau, dianggarkan antara 85 hingga 95 peratus pelajar SMPC menduduki SPM pada usia 17 tahun.
“Dalam amalan sebenar, SPM digunakan bagi memenuhi syarat nasional, manakala UEC menjadi laluan alternatif dan nilai tambah untuk ke IPTS atau universiti luar negara,” katanya.
Beliau menjelaskan polemik sebenar hanya melibatkan kelompok kecil pelajar yang hanya memiliki UEC tanpa sijil SPM penuh akibat gagal Bahasa Melayu atau Sejarah.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa UEC sehingga kini masih belum diiktiraf sebagai kelayakan nasional rasmi setara SPM atau STPM.
“Isunya bukan sama ada UEC bagus atau tidak. Persoalannya ialah sama ada ia memenuhi kerangka nasional dari sudut kurikulum, kawal selia pentaksiran, audit akademik dan dasar perundangan negara,” katanya.
Menurut beliau, selagi UEC berada di luar kerangka rasmi pendidikan kebangsaan, kerajaan tidak mempunyai asas dasar dan perundangan untuk mengiktirafnya sebagai kelayakan tunggal ke IPTA dan sektor awam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan lepasan UEC sebenarnya sudah lama diterima dalam bidang tertentu seperti Bahasa Cina di institusi pendidikan awam dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), namun tetap tertakluk kepada syarat memiliki SPM serta lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.
Mengulas mengenai lepasan tahfiz pula, Dr Radin berkata sebelum ini memang sudah terdapat pelajar tahfiz yang berjaya memasuki IPTA, khususnya dalam bidang pengajian Islam dan tahfiz.
Namun katanya, proses tersebut sebelum ini lebih bersifat terhad dan tidak seragam kerana bergantung kepada syarat universiti dan pengiktirafan sijil tertentu.
“Bezanya sekarang, KPT sedang memperjelaskan dan menyusun laluan itu dalam kerangka dasar yang lebih rasmi, tersusun dan telus di peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata pendekatan Kerajaan MADANI ketika ini dilihat cuba menyeimbangkan keterbukaan akses pendidikan dengan kepentingan mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras negara.
“Perbahasan mengenai UEC dan laluan pendidikan ini perlu dibuat secara rasional dan objektif, bukan dipolitikkan secara berlebihan,” katanya.






