
PAPAR – Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada selepas terdapat individu tidak bertanggungjawab dikesan menyamar sebagai Pegawai Perhubungan (PA) atau wakil kepada Datuk Armizan Mohd Ali bagi tujuan penipuan.
Menurut Pejabat Datuk Armizan Mohd Ali, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej, panggilan telefon atau permintaan yang meragukan, khususnya yang melibatkan urusan kewangan, bantuan, sumbangan atau hal peribadi.
“Segala urusan rasmi yang melibatkan YB Datuk Armizan Mohd Ali hanya dilakukan secara bertulis melalui Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri KPDN serta pegawai yang telah dilantik dan bertanggungjawab sahaja,” menurut kenyataan di media sosial pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu lagi, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap pihak terlibat.
“Orang ramai yang menerima sebarang panggilan atau mesej mencurigakan dinasihatkan supaya tidak melayan dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Saya meminta kerjasama orang ramai untuk menyebarkan peringatan ini bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan identiti pegawai awam untuk tujuan penipuan.

