
LAHAD DATU – Kerajaan Sabah akan memperhalusi pembinaan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan pelebaran jalan Tengah Nipah, di sini, bagi memenuhi keperluan dan keselesaan masyarakat setempat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, permintaan yang dikemukakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan itu akan diteliti dengan sebaiknya.
“Saya sudah bisik kepada Pegawai Daerah bagi laporan atau permohonan kepada saya, termasuk jalan raya itu, InsyaAllah kita akan pertimbangkan untuk Lahad Datu.
“Kita minta laporan lengkap termasuk peruntukan dan anggaran kos. Ini penting kerana tanpa input daripada jabatan teknikal yang menyediakan costing atau anggaran sebenar, saya tidak boleh membuat sebarang pengumuman,” katanya semasa berucap pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri AMT Gagasan Rakyat, Datuk Hakim, di Dewan Sri Perdana, pada Khamis.
Difahamkan, pembinaan SMAN Lahad Datu pernah disuarakan dan diluluskan bagaimanapun tiada tindakan lanjut sehingga kini sementara Jalan Tengah Nipah (dari Lahad Datu-Tungku) mengalami kesesakan trafik melampau khususnya pada waktu puncak.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, setiap projek akan dilaksanakan selaras dengan usaha berterusan membantu rakyat sekali gus memperkukuh pembangunan.
“Bukan sahaja pembangunan, tahun ini kita akan beri bantuan kepada 140,000 orang yang tidak berkemampuan khususnya dalam kategori miskin dan miskin tegar dengan bantuan RM200 setiap bulan.
“Dulu melalui Jabatan Kebajikan, bantuan diberikan kepada sekitar 30,000 orang di seluruh Sabah.
“Ketika saya hampir lima tahun memimpin, jumlah itu telah ditingkatkan kepada 70,000 orang, iaitu tambahan 40,000 penerima dalam kalangan mereka yang menerima antara RM250 hingga RM350 seorang.
“Bantuan tunai RM300 turut disalurkan kepada pelajar kolej swasta dan institusi kerajaan di Sabah yang pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan termasuk ke kawasan seperti Pitas, Sandakan, Tawau dan Penampang, ” kongsinya.
Menurut Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat Sabah, rekod menunjukkan banyak perkara dicapai sepanjang lima tahun menerajui negeri ini.
“Antara pencapaian ialah kita berjaya meningkatkan hasil negeri daripada sekitar RM4 bilion kepada RM7 bilion.
” Ini merupakan antara kejayaan yang telah kita salurkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif,” jelasnya.
Tambah Hajiji, kerajaan kini merancang pelbagai langkah bagi menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik secara menyeluruh sebagai tanggungjawab kepada rakyat di seluruh Sabah.






