Dakwaan Malaysia hantar diesel ke Filipina tidak benar

KUALA NERUS – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti yang tular di media sosial, sebaliknya menjelaskan perkara itu berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bekalan diesel terbabit bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol.

“Timbul persoalan dalam media sosial mengenai minyak yang didakwa dihantar Kerajaan Malaysia ke Filipina.

“Bagaimanapun, penjelasan oleh pihak Petronas dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan minyak itu bukan milik Malaysia. Sebaliknya, ia telah dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol, dan disimpan di sebuah gudang di kawasan Tanjung Pelepas, Johor.

“Dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia. Perkara ini menjadi punca salah faham dalam kalangan segelintir pengguna Internet yang mendakwa diesel berkenaan dihantar dari Malaysia.

“Hakikatnya, minyak berkenaan bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, sebaliknya ia milik Vitol yang telah dijual kepada Filipina, dengan kapal itu hanya berlepas dari perairan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap maklumat berkenaan dapat diperjelaskan kepada orang ramai bagi mengelak kekeliruan berhubung isu penghantaran minyak berkenaan.

Sementara itu, MTEN dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan bahawa 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina, baru-baru ini, bukan berasal dari Malaysia sebagaimana dilaporkan beberapa media antarabangsa.

MTEN turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Petronas dalam kenyataan berasingan turut menafikan pembabitannya dalam penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel ke negara jiran berkenaan.

Syarikat minyak nasional itu menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel berkenaan.

Sebelum ini, media Filipina melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu bagi menambah bekalan bahan api negara berkenaan ketika ketidaktentuan pasaran global.

Menurut laporan itu, penghantaran berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Filipina memperkukuhkan bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac lalu.

Related Posts

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini. Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Teo Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina Ibrahim dalam DAP Johor

Teo Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina Ibrahim dalam DAP Johor

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri