AS, Iran gagal capai kata sepakat selepas 21 jam rundingan

ISLAMABAD – Amerika Syarikat (AS) dan Iran gagal mencapai sebarang persetujuan selepas lebih 21 jam rundingan damai bersejarah yang berlangsung di Pakistan.

Naib Presiden AS, JD Vance, berkata rundingan yang berlangsung secara intensif itu tidak menghasilkan sebarang perjanjian.

“Berita buruknya ialah kami tidak mencapai persetujuan,” katanya kepada pemberita pada Ahad, lapor Astro Awani.

Beliau berkata, delegasi AS kini merancang untuk beredar dari Pakistan susulan kegagalan rundingan berkenaan.

Menurutnya, AS menghadiri rundingan itu dengan sikap fleksibel serta niat baik, namun Iran masih enggan menerima terma yang dikemukakan.

“Kami tidak dapat mencapai tahap di mana pihak Iran bersetuju dengan syarat-syarat kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji peranan Pakistan sebagai tuan rumah dan perantara, selain merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri negara itu serta Ketua Tentera Darat, Asim Munir.

Mengulas isu keselamatan utama, beliau menegaskan usaha menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear merupakan matlamat teras Presiden AS, Donald Trump.

“Kami memerlukan komitmen jelas bahawa Iran tidak akan mendapatkan senjata nuklear dan tidak akan membangunkan keupayaan untuk mencapainya dengan pantas,” katanya.

Walaupun mendakwa program nuklear Iran telah “dimusnahkan”, beliau berkata AS masih belum melihat komitmen asas daripada Tehran untuk tidak membangunkan senjata nuklear pada masa depan.

“Kami belum melihatnya lagi dan berharap akan melihatnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa rundingan itu merangkumi pelbagai isu termasuk aset Iran yang dibekukan di luar negara serta perkara lain yang lebih luas.

“Kami telah membincangkan semua isu, namun akhirnya gagal mencapai tahap di mana Iran bersedia menerima terma kami,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam kenyataan sebelum ini menyifatkan rundingan berkenaan sebagai intensif, namun kejayaannya bergantung kepada kesungguhan serta niat baik kedua-dua pihak.

Beliau menggesa AS supaya mengelakkan tuntutan berlebihan dan tidak sah, selain menghormati hak serta kepentingan sah Iran.

Antara isu utama yang dibincangkan termasuk Selat Hormuz, program nuklear Iran serta usaha menamatkan konflik secara menyeluruh.

Kenyataan bercanggah daripada Washington dan Tehran mencerminkan tahap ketidakpercayaan yang masih tinggi, walaupun rundingan itu dilihat sebagai antara usaha diplomatik paling signifikan antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad.

Buat masa ini, masa depan sebarang usaha ke arah gencatan senjata kekal tidak menentu.

Related Posts

Harga minyak dunia lepasi AS$100 setong

NEW YORK – Harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 setong pada Khamis, mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh hampir dua bulan selepas kumpulan Houthi di Yaman mengumumkan serangan ke atas…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Trump rancang tarif baharu ke atas 60 negara, perang perdagangan dijangka memuncak

ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang bersiap sedia memperkenalkan pusingan baharu tarif import terhadap kira-kira 60 negara seawal minggu ini, sekali gus berpotensi meningkatkan semula ketegangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Fahmi nafi Negeri Sembilan abai isu ceroboh tanah, tindakan sudah diambil

Fahmi nafi Negeri Sembilan abai isu ceroboh tanah, tindakan sudah diambil

Sepanyol kembali ke puncak ranking FIFA

Sepanyol kembali ke puncak ranking FIFA

RM6.75 juta dilabur bina tukun perkukuh rantaian makanan negara

RM6.75 juta dilabur bina tukun perkukuh rantaian makanan negara

Sisa kimia letupan ikan bom ancam kesihatan pengguna – Hanifah Hajar

Sisa kimia letupan ikan bom ancam kesihatan pengguna – Hanifah Hajar

AMK Miri edar bendera semarak semangat patriotik Hari Sarawak

AMK Miri edar bendera semarak semangat patriotik Hari Sarawak

Sarawak percepat ukur tanah NCR jamin hak milik rakyat

Sarawak percepat ukur tanah NCR jamin hak milik rakyat