PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengesahkan sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz berikutan krisis di Asia Barat telah diberikan laluan selamat dan kini sedang menuju ke destinasi terakhirnya.
Wisma Putra memaklumkan hasil positif tersebut terlaksana susulan pembabitan diplomatik di peringkat tinggi.
“Ini termasuk perbualan telefon yang konstruktif antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu serta antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac.
“Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi, keselamatan dan jaminan laluan maritim, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia juga menegaskan semula kepentingan dialog yang berterusan dan pembabitan diplomatik dalam menangani cabaran serantau serta mengekalkan keamanan dan kestabilan,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Terdahulu, Kedutaan Iran di Malaysia pada Isnin memaklumkan bahawa kapal pertama Malaysia telah melalui Selat Hormuz.
“Kami telah menyatakan bahawa Republik Islam Iran tidak melupakan rakan-rakannya,” menurut hantaran kedutaan itu di platform X.
Sebelum ini, media melaporkan sekurang-kurangnya tujuh kapal milik Malaysia dijangka belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz tanpa sebarang bayaran, walaupun ketegangan di rantau itu semakin meningkat, susulan jaminan daripada Iran.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi dipetik berkata, Tehran dimaklumkan mengenai kehadiran kapal berkenaan di Teluk Parsi serta hasrat mereka untuk melalui laluan perairan strategik itu.
Mohamad juga dilaporkan berkata tujuh kapal tangki milik Malaysia sedang menunggu kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.
Ia terdiri daripada tiga milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.
Sekatan terhadap pergerakan kapal di Selat Hormus berlaku selepas Iran mengehadkan transit melalui laluan penting global itu yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Ia adalah tindak balas terhadap serangan dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel, kira-kira sebulan lalu.







