KOTA TINGGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan petrol dan diesel di Malaysia masih dalam keadaan terkawal walaupun konflik geopolitik dunia memberi tekanan kepada ekonomi global dan rantaian bekalan tenaga.
Namun, beliau yang juga Menteri Kewangan mengingatkan bahawa kesan lebih besar mungkin dirasai sekiranya konflik berkenaan berlarutan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.
Menurut beliau, kerajaan ketika ini masih mampu menampung tekanan kenaikan harga minyak dunia melalui subsidi, namun keadaan itu tidak boleh bertahan terlalu lama sekiranya perang berpanjangan.
“Kerajaan kini membelanjakan hampir RM6 bilion sebulan bagi menampung subsidi petrol, diesel dan bantuan berkaitan bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung akibat kenaikan harga global.
“Ini (perang) kalau keadaan tak berubah satu dua bulan ini kesannya sampai ke setiap kampung di negara ini, percayalah, saya berdoa supaya dapat dileraikan,” katanya ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka FELDA di FELDA Semenchu, pada Ahad.
Jika keadaan berterusan, Anwar memaklumkan, jumlah itu boleh mencecah sehingga RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan, sekali gus memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.
“Walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak, kira-kira 50 peratus bekalan minyak negara masih perlu diimport, menyebabkan Malaysia turut terdedah kepada ketidaktentuan harga global.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan harga masih terkawal selagi keadaan mengizinkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, hubungan diplomatik yang baik dan pendirian tegas Malaysia terhadap serangan ke atas Iran membolehkan kapal negara melalui Selat Hormuz, sekali gus memastikan rantaian bekalan tenaga negara terus lancar dan tidak terjejas.
Beliau menjelaskan terdapat negara lain yang telah terjejas teruk, termasuk negara jiran yang terpaksa menutup kira-kira 400 stesen minyak akibat kekurangan bekalan bahan api.
“Selain itu, ada negara lain yang terpaksa mengehadkan pembelian petrol kepada jumlah tertentu dan menetapkan hari tertentu bagi pembelian bahan api.
“Malaysia masih bertahan. Walaupun ada tekanan, kita belum sampai tahap seperti negara lain yang terpaksa menutup ratusan stesen minyak,” katanya.








